“Ingatkan pergerakan harga BTC akan menariklah ketika FOMC, rupanya bosan je.”
Harga raja mata wang kripto Bitcoin (BTC) bergerak mendatar apabila mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pada dua pagi tadi memutuskan untuk mengekalkan kadar faedah semasa pada julat 5.25% sehingga 5.50%.
Dilaporkan bahawa Federal Reserve (Fed) terus berpendirian untuk mengimbangi angka pekerjaan dan mencapai sasaran inflasinya pada 2%.
Susulan inflasi masih tinggi manakala kadar pengangguran pula kekal rendah, Fed juga bakal menilai maklumat tambahan dalam menentukan kadar faedah pada masa hadapan dan tindakan dasar monetari yang akan dilakukan oleh mereka.
Menurut John Authers, editor senior Bloomberg berkata harga BTC didapati turun naik pada paras sama kerana pelabur dalam pasaran kripto menganggap kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi Fed Jerome Powell adalah bernada hawkish.
Powell yang mempertimbangkan untuk pengukuhan dasar tambahan bagi mencapai sasaran inflasinya telah menyebabkan harga BTC tergelincir di bawah $26,900 daripada $27,200 apabila beliau menyatakan akan melakukan lebih banyak kenaikan kadar faedah jika ekonomi kekal kukuh.
Bukan itu sahaja, Powell turut memaklumkan bahawa majoriti ahli Fed percaya satu lagi kenaikan kadar faedah akan berlaku susulan trend inflasi baru-baru ini menuju ke arah positif, di mana bacaan tiga bulan lepas adalah sangat baik.
Sehingga berita ini ditulis, harga BTC menjunam sebanyak 1.02% pada paras $27,021 dalam tempoh 24 jam lalu dengan modal pasaran $526 bilion tetapi tetap mencatatkan kenaikan 3.23% sepanjang minggu lepas.