Harga Minyak Jatuh Lagi, Kini Cecah Paras Terendah Sejak Januari 2019!

345

Dagangan komoditi hitam terus memanjangkan penurunannya untuk hari kelima berturut-turut apabila semakin banyak kes COVID-19 baru yang dilaporkan di luar China mencetuskan kekhuatiran terhadap penurunan permintaan minyak mentah dan kemelesetan ekonomi global.

Niaga hadapan minyak mentah Brent jatuh 1.4% kepada $52.66 setong, manakala WTI Amerika Syarikat pula susut 1.6% kepada $47.93 setong iaitu merupakan paras terendah sejak Januari 2019 selepas AS mengesahkan kes jangkitan di California.

Hari ini buat pertama kali, jumlah baru kes jangkitan coronavirus di luar China melebihi angka yang dilaporkan di China, yang mana Korea Selatan, Iran dan Itali terus melaporkan peningkatan terbesar berbanding negara lain yang dijangkiti.

Presiden AS Donald Trump hari ini memberi jaminan kepada rakyat Amerika bahawa risiko dari coronavirus masih berada di tahap yang rendah dan menyatakan kesediaan pasukan kesihatannya untuk berdepan dengan penularan wabak ini.

Bagaimanapun, kenyataan itu gagal meredakan pasaran yang khuatir ia akan mengganggu ekonomi global kerana tindakan yang akan diambil selepas ini boleh menyebabkan sektor perdagangan dan industri di AS menjadi perlahan.

Selain itu, laporan yang dikeluarkan oleh Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA) mengenai inventori minyak mentah AS yang menunjukkan penurunan pada minggu lepas juga gagal merangsang kenaikan harga minyak mentah.

Inventori minyak mentah menurun kepada 500,000 tong daripada jangkaan pasaran untuk kenaikan 2.3 juta tong pada minggu lepas.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat