Harga Minyak Kekal Kukuh Menjelang Hujung Minggu

303

Harga minyak kekal didagangkan kukuh walaupun sedikit susut pada sesi Asia, dengan pergerakan harga menuju kenaikan bulan keempat berturut-turut selepas disokong oleh penawaran bekalan minyak yang berkurangan.

Niaga hadapan minyak mentah WTI Amerika Syarikat susut 36 sen kepada $63.17 setong, melepaskan semua kenaikan yang diraih pada hari Khamis. Sementara niaga hadapan minyak mentah Brent pula turun 18 sen kepada $66.70 setong.

Walaupun susut, tetapi pengukuhan harga terus meraih sokongan daripada prospek terhadap pengurangan dalam bekalan minyak susulan ribut salji di Texas yang telah melumpuhkan industri tenaga utamanya.

Sementara itu, kerelaan Arab Saudi untuk membuat pengurangan tambahan dalam pengeluarannya awal tahun ini turut membantu mengurangkan kebimbangan pasaran terhadap lebihan bekalan mengatasi permintaan.

Menjelang mesyuarat OPEC+ yang akan berlangsung minggu depan, terdapat khabar angin yang mengatakan bahawa negara-negara anggota lain akan mengusulkan cadangan supaya bekalan kekal stabil, sementara Rusia dibenarkan untuk meningkatkan pengeluaran.

Pertemuan OPEC+ akan menjadi tumpuan utama pasaran untuk mendapatkan kejelasan mengenai sebarang perubahan dalam tahap pengeluaran pada bulan April memandangkan harga terus menunjukkan pemulihan.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat