Harga Minyak Mentah Kembali Merosot, Dagangan Emas Raih Peningkatan

311

Komoditi minyak mentah diniagakan menyusut pada hari ini di sesi Asia berikutan kebimbangan terhadap ketidakpastian yang masih membelenggu rundingan dagang Amerika Syarikat dan China.

Niaga hadapan minyak mentah Brent menyusut 6 sen kepada $64.19 manakala WTI Amerika Syarikat turun 7 sen kepada $58.95.

Negara anggota OPEC dan sekutunya yang lebih dikenali sebagai OPEC+ telah bersetuju pada hari Jumaat lalu untuk memperdalamkan pemotongan pengeluaran harian kepada 2.1 juta tong, dengan tambahan sebanyak 500,000 tong pengurangan sehingga suku pertama tahun 2020.

Dagangan komoditi minyak mentah yang meraih peningkatan susulan berita itu, kembali menyusut selepas data eksport China menunjukkan pertumbuhan yang lemah, mencerminkan impak negatif terhadap ekonomi global kesan daripada ketegangan perdagangan yang masih berlanjutan.

Pasaran kini menantikan keputusan Presiden AS Donald Trump dalam memutuskan sama ada akan mengangguhkan pelaksanaan tarif atau mengumumkan penambahan tarif baru yang dikenakan terhadap barangan import China pada 15 Disember ini.

Ini adalah susulan ancaman beliau terdahulu yang menyatakan akan mengenakan tambahan tarif kepada China sekiranya perjanjian fasa pertama tidak dapat diselesaikan.

Bagaimanapun, Donald Trump juga sebelum ini mengeluarkan kenyataan bahawa kemungkinan perjanjian fasa pertamanya akan dibawa sehingga selepas pilihan raya AS pada tahun depan.

Ini dikuatkan lagi dengan kenyataan Penasihat Ekonomi White House Larry Kudlow ada memberitahu bahawa Trump dikatakan tidak bersedia untuk menandatangani perjanjian tersebut.

Sementara itu, dagangan emas mempamerkan peningkatan sederhana dengan naik sebanyak 0.18% kepada 1,467.50, menunjukkan sentimen pasaran kekal berwaspada walaupun terdapat perkembangan positif dalam isu perdagangan di mana kedua-dua pihak dikatakan sedang bekerja keras untuk menyelesaikanya.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat