Hilang Tempat Tinggal Sejak Umur 16 Tahun, Kini Jadi Pelabur Berjaya!

278

Porinju Veliyath dilahirkan pada 1962 di sebuah perkampungan Chalakudy, Kerala, India. Beliau dibesarkan dalam sebuah keluarga yang miskin. Ketika berusia 16 tahun, keluarganya terpaksa menjual rumah mereka untuk membayar hutang.

Oleh itu, beliau dan keluarganya telah kehilangan tempat tinggal. Sehubungan dengan itu, Porinju berpindah ke Ernakulam, sebuah bandar yang membangun untuk mencari pekerjaan di sana.

Selang beberapa hari, Porinju ditawarkan untuk bekerja sebagai seorang akauntan di salah sebuah firma swasta dengan gaji sebanyak Rs1,000. Hakikatnya, gaji tersebut tidak cukup untuk menyara keluarga dan membiayai persekolahannya.

Tanpa mengenal erti putus asa, beliau tetap meneruskan pekerjaannya di firma berkenaan sambil mencari peluang pekerjaan yang lain. Berkat usaha gigihnya, beliau memperoleh tawaran bekerja sebagai operator telefon di Ernakulam Telephone Exchange dengan gaji sebanyak Rs2,500.

Meskipun berhadapan dengan kemiskinan, Porinju tidak pernah mengabaikan pelajarannya bahkan beliau mahu menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Malangnya, kebanyakan pusat pengajian mengenakan yuran yang tinggi kepada para pelajarnya.

Namun begitu, beliau sangat bernasib baik. Hal ini demikian kerana beliau telah ditawarkan untuk menyertai bidang guaman di Ernakulam Law College dengan bayaran yuran yang lebih murah.

5 tahun berlalu, Porinju berjaya menamatkan pengajiannya dan memasang impian untuk memperoleh pekerjaan yang baik dengan tawaran gaji yang lebih tinggi. Beberapa bulan kemudian, beliau masih gagal untuk mendapatkan pekerjaan.

Rentetan daripada itu, beliau memutuskan untuk berpindah ke Mumbai. Semasa sampai ke bandar tersebut, beliau memperoleh pekerjaan sebagai kerani di salah sebuah syarikat pelaburan, Kotak Securities.

Pada ketika itu, Porinju banyak belajar mengenai pelaburan saham sehingga mampu menjadi seorang pelabur yang berjaya. Setelah 4 tahun perkhidmatannya, beliau berpindah ke Parag Parikh Securities dan bekerja sebagai penganalisis kajian serta pengurus dana.

Selepas 9 tahun berada di Mumbai, beliau memutuskan untuk kembali ke kampung halaman dan menjalankan pelaburannya sendiri. Oleh itu, beliau telah membeli saham sebanyak 80% di Geojit Financial Services. Walau bagaimanapun, tindakannya itu mendapat kritikan panas daripada pelabur lain kerana saham tersebut diniagakan sangat rendah.

Tetapi, apa yang berlaku adalah di luar jangkaan! Porinju berjaya menjana keuntungan berganda daripada saham tersebut dan berjaya membeli semula rumah keluarganya yang dijual ketika beliau berusia 16 tahun.

Berdasarkan pengalamannya dalam dunia pelaburan, beliau telah menubuhkan sebuah firma pelaburan yang dikenali sebagai Equity Intelligence pada tahun 2002 yang kini menguruskan dana lebih daripada Rs400 crore!

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat