Ini Cara Tangani Kesan Sampingan Vaksin Covid-19

1,050

Kesan sampingan seperti sakit dan bengkak di tempat suntikan, keletihan, sakit kepala, demam dan menggigil adalah gejala biasa yang dialami oleh penerima vaksin Covid-19 Moderna dan Pfizer-BioNtech, lapor agensi berita Xinhua memetik CNBC dalam laporan kesihatan baru-baru ini.

Menurut CNBC, mereka yang mengalami kesan sampingan itu boleh mengambil pil penahan sakit untuk mengurangkan gejala, merujuk saranan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS).

Ujar laporan tersebut, itu adalah sesuatu yang biasa bagi tubuh manusia mengalami kesan sampingan kerana sistem imunisasi tubuh berfungsi untuk mempersiap dan melindunginya daripada virus menerusi proses ‘peradangan terkawal’ ketika vaksin mRNA bertindak balas.

Bernama melaporkan, bagi mengurangkan kesan sampingan yang mungkin serius dalam sesetengah kes, CDC AS berkata orang ramai boleh mengambil ubat penahan sakit seperti ibuprofen, aspirin, antihistamin atau asetaminofen selepas menerima vaksin.

Bagaimanapun, agensi terbabit menyarankan mereka untuk mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu.

Namun, CDC AS tidak menyokong pengambilan pil tersebut sebelum menerima suntikan kerana boleh melemahkan tindak balas sistem imun terhadap vaksin.

Kaedah lain yang boleh digunakan untuk mengurangkan kesan sampingan termasuklah tuam dengan kain lembap dan sejuk di tempat suntikan untuk menghilangkan rasa sakit, minum air dengan kuantiti yang banyak jika demam dan memakai pakaian tipis.

Laporan berkenaan menyatakan lebih ramai orang akan mula mengalami kesan sampingan selepas menerima suntikan kedua kerana suntikan pertama hanya merangsang tindak balas imun manakala suntikan kedua untuk meningkatkan sistem imun.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat