Setiausaha Perbendaharaan AS, Janet Yellen berjanji untuk melindungi pelabur, dan memberitahu pengawal selia pasaran kewangan perlu memahami sepenuhnya kekacauan pasaran baru-baru ini yang melibatkan Gamestop Corp dan saham runcit lain sebelum bertindak.
Pada hari Khamis, Yellen telah mengadakan pertemuan dengan beberapa pegawai tertinggi pengawal selia pasaran AS iaitu ketua Securities and Exchange Commission (SEC), Federal Reserve AS (Fed), Fed New York dan Suruhanjaya Dagangan Niaga Hadapan Komoditi (CFTC) yang berfungsi sebagai pemantau utama Wall Street.
Melalui satu pernyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perbendaharaan susulan pertemuan itu, pengawal selia percaya bahawa infrastruktur teras pasaran kewangan terbukti berdaya tahan semasa volatiliti yang tinggi dan jumlah dagangan yang besar.
Namun, kajian yang tepat mengenai peristiwa tersebut oleh SEC juga adalah penting. Menurut Yellen, SEC dan CFTC sedang mengkaji sama ada perdagangan tersebut sesuai dengan perlindungan pelabur serta pasaran yang adil dan cekap.
Selain itu, Yellen juga memberitahu pengawal selia bahawa mereka perlu memahami secara mendalam dan melihat dengan teliti peristiwa yang berlaku baru-baru ini sebelum mengambil tindakan.
Minggu lalu, pasaran telah menyaksikan perang yang meletus antara pelabur runcit dan pelabur institusi (hedge fund) yang mendorong beberapa saham, termasuk Gamestop melonjak lebih tinggi dan menyebabkan kerugian besar kepada pelabur besar.