Ini Langkah Bijak BIMB Untuk Anak Syarikatnya

1,065

Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB) dijangka disenaraikan di papan utama Bursa Malaysia pada Ogos ini, sebagai sebahagian penyelesaian langkah penstrukturan semula syarikat induknya iaitu BIMB Holdings Bhd (BHB).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif BIMB, Mohd. Muazzam Mohammed, BHB telah memohon kelulusan penstrukturan semula pada Disember 2019 tetapi berikutan krisis pandemik Covid-19, kelulusan tersebut hanya diterima daripada Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kewangan pada Disember tahun lalu.

“Selepas disenaraikan, BIMB akan meneruskan usahanya untuk menjadi peneraju dalam penyelesaian kewangan menyeluruh dalam persekitaran syariah, sosial dan tadbir urus dengan kepimpinan dalam perbankan digital serta kewangan sosial.

“Kami juga menyasarkan untuk meningkatkan saiz aset kami kepada lebih RM100 juta dalam tempoh 5 tahun daripada RM75 juta pada masa ini menerusi pertumbuhan organik dan peluasan ke dalam ruang perbankan digital,” katanya seperti dilaporkan oleh Bernama.

Tambah Mohd. Muazzam, setelah selesai proses penstrukturan semula, BIMB dan Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Bhd (STMKB) akan mengekalkan status penyenaraian berasingan sementara BHB akan menjadi anak syarikat yang tidak aktif untuk BIMB.

Untuk menjadikan BHB sebagai syarikat yang tidak aktif, beliau menyatakan syarikat itu telah melakukan jualan awal saham pada April lalu selepas menerbitkan 222 juta saham baharu pada harga terbitan RM3.58 sesaham.

Menurut beliau, syarikat terbabit berjaya mengumpulkan sekitar RM795.5 juta hasil kasar menerusi langkah yang akan digunakan untuk menebus sukuk BHB berjumlah antara RM920 juta dan RM960 juta pada Mei atau Jun apabila dilaksanakan.

Baki daripada langkah penebusan sukuk dan liabiliti lain dalam BHB akan dijelaskan melakui dana dalaman.

Ujar Mohd. Muazzam, syarikat terbabit juga diminta untuk menebus saham waran BHB berjumlah lebih 427 juta bernilai RM162 juta yang akan dibayar pada suku kedua tahun ini bergantung kepada sekatan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

BIMB turut memperoleh anak syarikat BHB sedia ada iaitu BIMB Securities Holdings Bhd, BIMB Securities Sdn Bhd dan Syarikat Al-Ijarah Sdn Bhd.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat