Jangan Main Tuduh! Ini Kenyataan Balas FGV!

1,229

FGV Holdings Bhd membalas tuduhan Agensi Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP) berhubung isu buruh paksa digunakan di ladang kelapa sawit syarikat tersebut.

Menurut FGV dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, syarikat itu telah mengambil langkah sewajarnya sejak 2015 untuk memperbetulkan situasi.

“FGV berasa kecewa dengan keputusan yang dibuat ketika FGV telah mengambil langkah konkrit sejak beberapa tahun lalu dalam melaksanakan komitmen menghormati hak asasi manusia dan meningkatkan standard buruh.” ujar kenyataan tersebut.

Tambah FGV, pelbagai usaha telah dijalankan dalam menghormati komitmen sedemikian termasuklah memperkukuhkan prosedurnya dan proses pengambilan pekerja asing.

Selain itu, FGV juga telah menerapkan Garis Panduan dan Prosedur untuk Tanggungjawab Pengambilan Pekerja Asing pada tahun lalu selaras dengan standard antarabangsa.

FGV juga menegaskan mereka komited membayar segala kos berkaitan pengambilan pekerja asing seperti tambang penerbangan, permit, visa, pemeriksaan kesihatan dan insurans selain meneliti kontrak pekerja dengan agensi pengambilan pekerja bagi memastikan tiada sebarang yuran tersembunyi dikenakan terhadap pekerja.

Malahan, FGV sekeras-kerasnya memaklumkan mereka tidak terbabit dalam sebarang kegiatan pengambilan pekerja daripada golongan pelarian.

FGV turut menyatakan mereka tidak terlibat dalam pemalsuan dokumen pengenalan diri pekerja asing dan telah memasang 32,250 kotak keselamatan sebagai pilihan untuk pekerja asing menyimpan pasport mereka dengan selamat.

Sementara itu, bagi memenuhi keperluan pekerja, FGV telah melaburkan sejumlah RM350 juta untuk menaik taraf kemudahan tempat tinggal untuk para pekerjanya di semua ladang milik syarikat tersebut di seluruh negara.

“Sejak Ogos tahun lalu, FGV telah berhubung dengan CBP menerusi kounsel undang-undang kami serta telah menyerahkan bukti pematuhan standard buruh yang dilaksanakan oleh kami.

“FGV akan terus berhubung dengan CPB bagi membersihkan nama syarikat ini dan tekad untuk meneruskan komitmen menghormati hak asasi manusia serta mematuhi standard buruh ditetapkan,” jelas kenyataan berkenaan.

AS semalam bertindak menyekat import minyak kelapa sawit FGV selepas wujud dakwaan syarikat terbabit menggunakan buruh paksa. Berikutan itu, saham FGV menyusut sebanyak 6.95 sen hari ini.

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat