Dalam usaha mengubah lanskap ekonomi global, BRICS sedang melancarkan ‘gold rush’ luar biasa yang menjanjikan dunia tanpa dominasi dolar AS.
Sehingga kini, blok BRICS telah mengumpul lebih 20% rizab emas global, dengan Rusia mendahului dengan 2,340 tan dan China di belakang dengan 2,260 tan.
Momentum ini dicetuskan selepas sekatan ketat AS ke atas Rusia pada tahun 2022, menjadikan BRICS sebagai pembeli emas terbesar dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan.
Dalam sidang kemuncak BRICS terbaru di Kazan, perbincangan berfokus kepada pembentukan dasar perdagangan yang lebih kukuh dan strategi jangka panjang untuk mengurangkan pengaruh dolar dalam perdagangan antarabangsa.
Antara isu penting yang dibincangkan adalah potensi penubuhan ‘BRICS Unit’ yang merupakan satu unit mata wang perdagangan yang berasaskan emas.
Meskipun ada spekulasi mengenai penciptaan mata wang baharu berasaskan emas seperti stablecoin, beberapa negara BRICS menolak idea ini, memilih untuk memudahkan perdagangan menggunakan mata wang tempatan sebagai alternatif yang lebih praktikal.
Keinginan untuk mengurangkan kebergantungan kepada dolar semakin jelas.
Rizab mata wang asing dalam dolar AS yang sebelum ini mendominasi 70% kini jatuh kepada 60%, mengukuhkan trend de-dolarisasi yang semakin meningkat.
Dengan langkah ini, BRICS menunjukkan komitmen serius untuk membentuk sistem kewangan alternatif yang boleh menyaingi ekonomi AS seterusnya membuka lembaran baru bagi masa depan ekonomi dunia.
Dengan setiap tan emas yang terkumpul, BRICS tidak sekadar mencari perlindungan namun membina masa depan tanpa dominasi Barat.
Adakah masa depan ekonomi global bakal menyaksikan ’empayar dolar’ akhirnya runtuh di bawah kebangkitan emas BRICS?