Kebimbangan Sentimen Berisiko Terus ‘Ganggu’ Bursa Malaysia

113

Bursa Malaysia dibuka tinggi namun pergerakan dilihat kekal menyusut pada awal dagangan hari ini susulan sentimen pasaran yang masih tidak menentu.

Kebimbangan terhadap kadar peningkatan kes harian yang masih melebihi 10,000 kes turut mendorong para pelabur untuk lebih berjaga-jaga di dalam pasaran.

Pada pukul 9.08 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 1.67 mata kepada 1,520.81 daripada 1,522.48 sewaktu ditutup pada Jumaat.

Bernama melaporkan, indeks itu diniagakan 0.19 mata lebih tinggi pada 1,522.67.

Dalam pasaran yang menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 207 berbanding 169, manakala 301 kaunter tidak berubah, 1,565 tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 327.79 juta unit bernilai RM25.10 juta.

Menurut Malacca Securities, Organisasi Negara Pengeksport Petroleum dan (OPEC+) telah bersepakat untuk meningkatkan pengeluaran minyak bermula Ogos di tengah peningkatan permintaan.

Di samping itu, sasaran kerajaan untuk mencapai 100% populasi dewasa dalam program vaksinasi menjelang Oktober diharap dapat cetus keyakinan kepada para pelabur mengenai pemulihan ekonomi negara.

Saham yang berkaitan sektor pemulihan seperti pengguna, harta tanah, pembinaan dan bahan binaan terus menjadi tumpuan disaat kadar vaksinasi yang terus mempamerkan kemajuan.

Firma broker juga menjangkakan bahawa minat belian terhadap saham teknologi juga dapat dikekalkan pada minggu ini.

Dalam negara, saham wajaran tinggi, Maybank naik dua sen kepada RM8.07, Top Glove meningkat satu sen kepada RM3.98, manakala TNB turun satu sen kepada RM9.69 dan CIMB susut tiga sen kepada RM4.50.

Public Bank, Petronas Chemicals, IHH Healthcare dan Hong Leong Bank masing-masing tidak berubah pada RM4.06, RM8.05, RM5.69 dan RM18.30.

Daripada saham aktif, CTOS Digital ‘meroket’ 57 sen kepada RM1.67, Velesto turun setengah sen kepada 14 sen, manakala BIG Industries susut empat sen kepada 99.5 sen dan Pasukhas menjunam 1.5 sen kepada 11.5 sen.

Selain itu, Privasia dan Permaju masing-masing naik setengah sen kepada 24 sen dan 11.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 8.79 mata kepada 11,107.78, Indeks FBMT 100 turun 10.52 mata kepada 10,813.81 dan FBM ACE merosot 10.81 mata kepada 7,229.76.

Indeks FBM Emas Shariah jatuh 11.90 mata pada 12,173.01 dan FBM 70 turun 8.75 mata kepada 14,485.78.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 5.14 mata kepada 14,901.01 dan Indeks Perladangan menambah 5.21 mata kepada 6,197.97 serta Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0,05 mata kepada 188.55.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat