Tumpuan pasaran pada dagangan sesi New York semalam telah terarah kepada terbitan data inflasi Amerika Syarikat (AS) yang telah memberi kesan terhadap pergerakan mata wang US dolar.
Sebelum ini sentimen kemenangan Donald Trump pada acara pilihan raya minggu lepas menjadi faktor mendorong pengukuhan ke atas US dolar.
Namun selepas data inflasi diterbitkan semalam, US dolar mendapat sokongan tambahan untuk melanjutkan lagi corak pengukuhannya dan terus membenam mata wang utama yang lain.
Meneliti laporan, indeks harga pengguna (CPI) AS untuk bulan Oktober menepati ramalan untuk meningkat semula ke paras 2.6%.
Ini menunjukkan perubahan pada bacaan inflasi AS yang sebelum ini memaparkan trend penurunan sejak bacaan April lalu.
Situasi ini memberi kesan pengukuhan kepada US dolar berikutan penganalisis melihat cabaran yang muncul untuk Federal Reserve (Fed) meneruskan langkah pelonggaran dasar monetari mereka setelah melaksanakan pemotongan kadar yang lebih kecil pada mesyuarat November.
Indikator tumpuan bagi US dolar telah menyaksikan indeks dolar (DXY) melonjak ke paras tertinggi sejak November 2023, mencapai paras 106.500 mata.
Manakala, hasil perbendaharaan 10-tahun AS (US10Y) pula meningkat ke paras tertinggi 4 bulan menghampiri 4.50%.
Tumpuan untuk hari ini pula (Khamis) akan terarah kepada data indeks harga pengeluar (PPI) AS untuk pelabur menilai perubahan harga barangan di peringkat pengeluar.
Di sesi Asia, laporan pekerjaan Australia diberikan perhatian terlebih dahulu yang menyaksikan angka yang kurang memberangsangkan.
Pertambahan pekerjaan di Australia pada bulan Oktober catat bacaan yang lemah pada 15,900 sahaja lebih rendah berbanding jangkaan 25,200. Manakala kadar pengangguran tepati ramalan kekal di paras 4.1%.