Kejutan Yang Tidak Dijangka Dari RBA, AUD/USD Mencanak!

599

Pasaran menyambut baik pengumuman dasar oleh Reserve Bank of Australia (RBA) yang mengekalkan rancangannya untuk mengurangkan kadar pembelian bon pada awal September.

Pada mesyuarat polisi sesi Ogos, bank pusat Australia membiarkan kadar faedah tidak berubah pada paras terendah dan sasaran hasil bon 3 tahun pada 0.10%.

Walaupun berdepan dengan tekanan yang meningkat daripada kebangkitan semula wabak coronavirus di Australia sehingga menyebabkan pelaksanaan langkah sekatan, namun bank pusat tetap dengan rancangan mereka untuk mengurangkan pembelian bon.

Buat masa ini, RBA akan membeli bon kerajaan pada kadar $5 bilion seminggu hingga awal September dan kemudiannya diturunkan kepada $4 bilion seminggu sehingga sekurang-kurangnya pertengahan November.

Dalam satu pernyataan susulan, RBA mengakui bahawa peningkatan terbaru kes jangkitan Covid-19 di Australia akan mengganggu pemulihan dan pertumbuhan ekonomi dijangka menurun pada suku ketiga.

Bagaimanapun, pengalaman sebelum ini menunjukkan bahawa selepas Covid-19 berjaya dibendung, ekonomi akan bangkit semula dengan cepat. Malah, sebelum penularan semasa, ekonomi Australia mempunyai momentum yang cukup besar dan ia masih dijangka untuk meningkat dengan kuat pada tahun depan.

Menurut RBA, ekonomi telah mendapat manfaat daripada sokongan dasar tambahan yang signifikan dan program vaksinasi juga akan membantu pemulihan.

Para pembuat dasar RBA akan mengekalkan pendekatannya yang fleksibel terhadap kadar pembelian bon. Program in akan terus dikaji berdasarkan keadaan ekonomi dan kesihatan semasa, serta implikasinya terhadap kemajuan yang diharapkan dalam mencapai sasaran pekerjaan penuh dan inflasi.

Dolar Aussie melonjak lebih tinggi susulan daripada keputusan yang tidak dijangka ini, dengan didagangkan menguat pada harga 0.74000 berbanding US dolar.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat