Kenali 5 Bandar Mesra Kripto

498

Matawang kripto merupakan matawang digital yang dikatakan sebagai revolusi baru selepas kewujudan internet. Selain itu, ianya dianggap sebagai sebuah transformasi dalam sistem kewangan global yang sebelum ini menggunakan wang tunai, industri perbankan dalam setiap urusniaga.

Kini, segalanya berada di hujung jari dengan teknologi blockchain yang tidak dapat dinafikan lagi keberkesanannya. Melalui penciptaan Bitcoin pada tahun 2009, matawang kripto tidak asing lagi daripada dunia kewangan bahkan menjadi platform untuk individu di luar sana bagi menambah pendapatan mereka.

Dengan perkembangan dunia matawang kripto, anda tidak perlu lagi membawa wang tunai yang banyak jika melancong ke luar negara. Hal ini demikian kerana terdapat beberapa buah bandar di seluruh dunia menerima dan menggunakan matawang kripto dalam urusniaga harian mereka.

Antaranya ialah :

1. Amsterdam, Netherlands

Amsterdam merupakan sebuah bandar bunga tulip yang sentiasa menjadi tumpuan para pelancong ini turut tersenarai sebagai bandar mesra kripto! Selain itu, ibu kota Belanda ini juga mendapat perhatian ramai kerana popularitinya dalam dunia matawang kripto khususnya, Bitcoin.

Di samping itu, ianya adalah tuan rumah yang memimpin startup Bitcoin merangkumi BitPlay dan BitFury. Bukan itu sahaja! Terdapat 74 peniaga yang menerima Bitcoin serta wujudnya sebuah ATM bitcoin untuk 800,000 orang.

Antara tempat menarik yang dapat dilawati di sini ialah kedutaan bitcoin. Kedutaan berkenaan dijadikan tempat untuk komuniti kripto berkumpul dan bergiat aktif dalam memberi galakan terhadap penggunaan Bitcoin dalam pelbagai transaksi. Tambahan daripada itu, pada tahun 2015, Amsterdam membuka Bitcoin Boulevard iaitu sebuah jalan yang kebanyakan peniaganya menerima Bitcoin sebagai bayaran untuk perkhidmatan dan produk mereka.

Seterusnya, orang Eropah menggelarkan bandar berkenaan sebagai rumah permulaan kripto yang berkembang maju.

2. Toronto, Kanada

Kanada dikenali sebagai salah sebuah negara yang paling menyambut baik blockchain dan matawang kripto. Undang-undang yang dikenakan terhadap matawang kripto dan ICOs adalah sedikit longgar berbanding negara-negara lain serta keseluruhan kerajaannya sangat menyokong matawang tersebut.

Sejak 10 tahun yang lalu, Toronto menjadi salah sebuah bandar mesra kripto dengan kewujudan beberapa buah syarikat kripto yang berjaya. Sebagai contoh, wallet matawang kripto yang dikenali sebagai Decentral serta Jaxx, sebuah perusahaan kripto Kanada yang terkenal di seluruh dunia.

Selain itu, terdapat 200 ATM kripto di bandar berkenaan iaitu jumlah ATM terbanyak dalam sebuah bandar di peringkat dunia.

3. Zug, Switzerland

Bila menyebut tentang Switzerland, pasti ramai yang membayangkan tentang coklat, pergunungan yang cantik serta banyak lagi tempat menarik yang dapat dilawati. Untuk pengetahuan anda, Switzerland merupakan salah sebuah negara terawal yang menggunakan matawang kripto.

Jika berkunjung ke Zug, anda akan mendapati banyak premis yang menerima matawang kripto sebagai bayaran termasuklah perkhidmatan seorang doktor gigi. Meskipun Zug adalah sebuah bandar yang kecil dan kurang dikenali, tetapi ianya dianggap sebagai sebuah bandar paling maju dalam dunia teknologi pada peringkat global.

Bukan itu sahaja! Zug juga diberikan gelaran sebagai ‘Crypto Valley’. Selain itu, beberapa tahun yang lalu, Zug juga menjadi bandar pertama yang menerima Bitcoin sebagai pembayaran cukai mereka.

4. Ljubljana, Slovenia

Walaupun ibu kota Slovenia ini adalah salah satu bandar terkecil di Eropah, namun ia mendapat perhatian dunia kerana inovasi teknologinya dan penggunaan teknologi blockchain. Uniknya, Ljubljana merupakan lokasi pusat beli-belah pertama di dunia yang menggunakan Bitcoin atau lebih dikenali sebagai Bitcoin City.

Selain itu, Bitstamp yang merupakan sebuah pusat pertukaran kripto paling popular turut membuka ibu pejabatnya di bandar berkenaan.

5. Hong Kong, China

Hong Kong ialah sebuah tempat tumpuan untuk aktiviti perniagaan dan kewangan di dunia. Pada tahun 2017, China telah mengharamkan matawang kripto dan ICOs. Setahun berikutnya, krisis China dan matawang kripto semakin meruncing apabila negara berkenaan menyekat lebih daripada 120 pusat pertukaran matawang kripto.

Rentetan daripada itu, banyak syarikat matawang kripto telah beralih arah ke kawasan berdekatan iaitu Hong Kong bagi menjalankan urusniaga mereka. Contohnya, Blockchain Global Summit telah dipindahkan ke Hong Kong dari Beijing pada tahun 2018. Seterusnya, salah satu bursa matawang kripto terbesar di dunia, Binance juga membuka pejabatnya di Hong Kong.

Hal ini demikian kerana, matawang kripto adalah sebuah bentuk pembayaran yang diiktiraf oleh Hong Kong. Jadi, ramai peruncit di bandar berkenaan menerima matawang tersebut.

Kesimpulannya, jika anda berkunjung ke bandar-bandar berkenaan, anda tidak perlu lagi membawa wang yang banyak sebaliknya gunakan sahaja matawang kripto yang dimiliki!

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat