Kenapa Emas Meningkat Walaupun Pasaran Semakin Pulih?

1,121

Dagangan emas kembali meraih permintaan dari kalangan pelabur dengan terus mempamerkan peningkatan pada dagangan sesi Asia hari ini, di mana ia telah meningkat lebih 3% semasa sesi sebelumnya.

Emas didagangkan di sekitar di paras harga $1,662 per auns selepas melonjak ke paras $1,675 pada awal dagangan hari ini, sementara niaga hadapan logam berharga itu pula meningkat lebih 1% kepada $1,712.00 per auns.

Logam kuning ini terus mencatatkan peningkatan walaupun terdapat pemulihan risiko dalam pasaran berikutan krisis coronavirus di Itali dan Sepanyol yang menunjukkan tanda-tanda semakin perlahan.

Hal ini mungkin disebabkan jangkaan pelabur terhadap rangsangan yang lebih banyak daripada bank pusat global untuk melindungi ekonomi yang terkesan akibat pandemik coronavirus.

Pada bulan lalu, Federal Reserve AS (Fed) telah mengurangkan kadar faedahnya ke paras terendah dan melancarkan program pembelian bon tanpa had, di mana ia turut disertai oleh beberapa bank pusat di seluruh dunia dengan melaksanakan pelonggaran kuantitatif (QE).

Selain itu, Amerika Syarikat juga telah meluluskan rang undang-undang pakej rangsangan ekonomi yang berilai $2.2 trilion. Ini menyebabkan penganalisis menjangkakan inflasi akan meningkat menjelang akhir tahun ini, sekali gus meningkatkan dagangan emas dan komoditi lain.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe dilaporkan akan melancarkan pakej rangsangan ekonomi yang bernilai ¥108 trilion yen ($989 bilion) iaitu menyamai 20% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di negara itu.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat