US dolar diperdagangkan lebih rendah berbanding kebanyakan matawang utama pada sesi Asia hari ini selepas menjunam susulan pengumuman dasar FOMC pada awal pagi tadi.
Federal Reserve (Fed) mengekalkan kadar faedah tidak berubah pada 0-0.25% dan pembelian aset sebanyak $120 bilion, seperti yang dijangkakan pasaran secara meluas.
Reaksi awal pasaran pada mulanya menunjukkan US dolar melonjak tinggi susulan pengumuman tersebut, namun raja matawang itu kembali menjunam lebih rendah selepas ditolak jatuh oleh kenyataan Pengerusi Jerome Powell.
Powell dengan berhati-hati mengatakan bahawa para pembuat dasar telah berbincang mengenai pengurangan dalam pembelian aset, namun masih tiada keputusan dibuat mengenai bila ia akan dilaksanakan.
Malah, para pembuat dasar akan terus memerhatikan kemajuan yang lebih lanjut dibuat dalam mencapai sasaran inflasi dan pekerjaan bank pusat. Merujuk kepada jutaan orang yang masih menganggur, Powell menekankan bahawa ekonomi masih jauh lagi daripada mencapai kemajuan.
Ini menunjukkan, walaupun Fed bersedia untuk melakukan pengurangan, tetapi bank pusat tidak tergesa-gesa untuk melakukannya memandangkan masih banyak kemajuan yang perlu dicapai.
Dalam pada itu, Powell turut mengulangi bahawa kenaikan inflasi baru-baru ini didorong oleh faktor-faktor yang sementara. Walaupun mengakui bahawa kenaikan tersebut adalah lebih tinggi daripada dijangkakan tetapi beliau yakin tekanan harga akan memudar.
Pada pembukaan sesi Asia, indeks dolar yang mengukur kekuatan dolar greenback berbanding sekumpulan matawang utama didagangkan rendah pada harga 92.27.
Susulan daripada kelemahan dolar greenback, matawang euro meningkat ke paras ketinggian dua minggu, sementara pound pula kembali didagangkan di atas paras harga 1.3900.