Kerajaan Kaji Semula Struktur Cukai Malaysia, SARA Jadi Topik Utama Parlimen Hari Ini

332

Kajian semula struktur percukaian semasa dan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) akan menjadi fokus persidangan Dewan Rakyat pada hari ini (Rabu).

Menurut Perintah Kertas di laman web rasmi Parlimen, Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) akan bertanya mengenai langkah-langkah yang diambil oleh Kementerian Kewangan untuk mengkaji semula struktur percukaian semasa dengan mengambil kira perubahan ekonomi semasa bagi sesi soal jawab.

Selain itu, Zahari Kechik (PN-Jeli) juga akan bertanya kepada Menteri Kewangan mengenai jumlah penerima dan dana yang dikeluarkan kerajaan melalui Sara.

Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) akan mengemukakan soalan kepada Menteri Dalam Negeri mengenai status semasa projek perintis bagi agensi sempadan tunggal (SBA) bagi menyelia 141 pintu masuk negara dan tarikh sasaran untuk baharu ini dan bila agensi untuk mula beroperasi.

Selepas sesi itu, persidangan akan diteruskan dengan pembentangan Rang Undang-undang Keselamatan Siber 2024 dan Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2024 untuk bacaan kali kedua.

Hari Rabu menandakan hari terakhir untuk Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15 yang telah berlangsung selama 19 hari sejak 26 Februari.

Sebelum ini, Perdana Menteri Malaysia berkata kerajaan akan menerima anggaran pendapatan sebanyak RM3 bilion hasil daripada kenaikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Bagaimanapun, Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) berkata bahawa jumlah RM3 bilion itu dianggap masih kecil jika mengambil kira perbelanjaan kerajaan. Cukai perkhidmatan dinaikkan kepada 8 peratus berkuatkuasa 1 Mac lalu berbanding kadar 6 peratus sebelum ini.

Langkah-langkah ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mengukuhkan kedudukan kewangan negara sambil mengurangkan defisit perbelanjaannya.

Sementara itu, Anwar mempertahankan kenaikan SST dengan berkata ia tidak menjejaskan harga barangan keperluan dan perkhidmatan.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat