Khabar Duka Buat Pelabur! Aktiviti Ekonomi Eropah Lemah

667

Menghiasi pasaran pada sesi Eropah hari ini adalah penerbitan data pembuatan dan perkhidmatan dari Zon Eropah dan UK yang memperlihatkan bacaan bercampur-campur dicatatkan pada bulan Januari.

Anggaran awal hasil tinjauan IHS menunjukkan aktviti pembuatan Zon Eropah berkembang lebih tinggi dari dijangkakan pada bulan ini, dengan kenaikan 59.0 daripada 58.0 yang dicatatkan sebelumnya dan melebihi jangkaan untuk meningkat 57.6.

Pertumbuhan positif ini disokong oleh lonjakan sederhana dalam aktiviti perkilangan di Jerman yang menunjukkan beberapa daya tahan ketara untuk memulakan tahun baharu dengan melonjak ke tahap tertinggi lima bulan.

Bagaimanapun, berbeza pula dengan sektor perkhidmatan yang terus menunjukkan penurunan pada bulan Januari, dengan menurun ke tahap terendah 9 bulan pada 51.2 daripada 53.1, disebabkan kesan daripada penularan varian Omicron.

Angka yang bercampur-campur ini menyebabkan mata wang euro sedikit berubah untuk didagangkan pada sekitar harga 1.1333 berbanding USD.

Sementara itu, pengembangan aktiviti ekonomi UK pula tidak seindah yang diharapkan apabila kedua-dua sektor pembuatan dan perkhidmatan memaparkan bacaan mengecewakan.

Pertumbuhan aktiviti perkilangan UK sedikit perlahan pada bulan ini, dengan hanya mencatat pengembangan 56.9 daripada 57.9 yang direkodkan bulan sebelumnya. Sementara sektor perkhidmatan pula sedikit tersasar dari jangkaan dan turut menunjukkan sedikit penurunan.

Kemerosotan ini membuktikan aktiviti ekonomi di UK sebenarnya terbeban dengan penularan Omicron walaupun kerajaan dilihat tidak bimbang dengan ancaman varian baharu ini.

Reaksi awal pound menunjukkan mata wang itu terus memanjangkan penyusutan ke sekitar harga 1.3530 selain turut terkesan dengan USD yang kuat menjelang mesyuarat polisi FOMC minggu ini.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat