Komentar Trump Dan Mnuchin Gagal Tarik Pasaran, Tumpuan Beralih Kepada Laporan NFP

389

Dagangan penghujung minggu pada sesi Asia menyaksikan pergerakan dolar USD berhati-hati berikutan masih dibelenggu oleh ketidakpastian perdagangan Amerika Syarikat dan China, walaupun terdapat beberapa perkembangan positif mengenainya.

Terdapat kenyataan terbaru daripada Presiden Donald Trump dan Setiausaha Perbendaharaan AS, Steven Mnuchin yang masing-masing menyatakan kedua-dua negara itu sedang berusaha untuk mencapai perjanjian dan ia berjalan dengan lancar.

Mnuchin pula menambah bahawa rundingan dagang sedang berada di landasan yang betul tetapi mereka dilaporkan tidak terikat pada tarikh akhir tertentu untuk memuktamadkan perjanjian tersebut.

Namun begitu, ia gagal menarik perhatian pasaran berikutan kenyataan China yang masih tetap dengan pendirian mereka bahawa beberapa tarif perlu ditarik kembali sekiranya China dan Amerika Syarikat mencapai kesepakatan dalam perjanjian dagang.

Data jumlah tuntutan faedah/insurans pengangguran AS berkurang ke paras terendah sejak bulan April daripada yang disasarkan oleh penganalisis untuk meningkat. Penurunan ini menunjukkan bahawa pasaran buruh masih kukuh.

Bagaimanapun, permintaan terhadap USD tetap berkurang seolah-olah pasaran sudah bersedia untuk menghadapi pelbagai kemungkinan terhadap laporan pekerjaan NFP AS yang akan diterbitkan pada malam ini meskipun jangkaan pasaran menunjukkan terdapat 180,000 penambahan pekerjaan dalam laporan tersebut.

Selain daripada laporan NFP, pasaran juga menantikan penerbitan data pengangguran AS yang dijangka kekal tidak berubah pada kadar 3.6% daripada bacaan yang direkodkan pada bulan lepas.

Mengikuti perkembangan di Eropah, keyakinan terhadap kemenangan untuk Parti Konservatif pada pilihan raya UK kekal menyokong pergerakan matawang pound untuk diniagakan tinggi berbanding beberapa matawang utama lain pada sesi Asia.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat