Lantunan Mengejut Di Pagi Hari, Bursa Menghijau Semula

220

Pada jam 9.05 pagi penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mencanak 3.75 mata pada 1,580.71 daripada penutupan Selasa pada 1,576.69.

Indeks dibuka tinggi 5.30 mata pada 1,582.26.

Ia dibuka sedikit tinggi, melantun daripada kerugian semalam walaupun kebimbangan terhadap krisis geopolitk Rusia-Ukraine menggugat pasaran Wall Street.

Di pasaran meluas, pelabur menyaksikan kaunter untung mengatasi rugi dengan 205 berbanding 153, manakala 227 kaunter pula tidak berubah, 1,673 tidak didagangkan dan 18 digantung.

Jumlah perolehan pada 145.38 juta unit bernilai RM84.81 juta.

Nota Malacca Securities Sdn Bhd menyatakan sesi penjualan di pasaran Wall Street akan menyebabkan peningkatan dagangan di pasaran buat masa terdekat ini.

Sementara itu, perhatian pelabur tertumpu kepada kadar inflasi Malaysia yang bakal dikeluarkan pada esok, Khamis.

Tambahnya lagi, pasaran mungkin memberi fokus kepada sektor berkaitan logam dan tenaga memandangkan terdapat peningkatan pada harga minyak Brent dan aluminium, selain itu, saham perbankan dan pengguna termasuk saham bertemakan pemulihan terus mencapai musim keuntungan.

Saham berwajaran tinggi menyaksikan Maybank capai 2 sen pada RM8.74, Public Bank tambah 1 sen pada RM4.35, Petronas Chemicals maju 9 sen pada RM9.23 sementara CIMB Group kekal pada RM5.5 dan IHH Healthcare susut 2 sen pada RM6.28.

Saham aktif memperlihatkan SMTrack kukuh 0.5 sen pada 26 sen, MSM Malaysia Holdings jatuh 19.5 sen pada 92.5 dan Hibiscus Petroleum hilang 2 sen pada RM1.16.

Kaunter paling untung menunjukkan Kuala Lumpur Kepong lonjak 60 sen pada RM25.60, Malaysian Pacific capai 42 sen pada RM35.32 dan United Plantations tambah 30 sen pada RM14.84.

Di papan indeks, FBM Emas naik 25.98 mata pada 11,269.48, FBMT 100 tambah 25.85 mata pada 10,946.18, FBM Emas Shariah canak 34.13 mata pada 11,958.11, FBM 70 lonjak 31.09 mata pada 13,418.15 dan FBM ACE maju 22.94 mata pada 6,094.09.

Segi sektor, indeks Perkhidmatan Kewangan bertambah 25.40 mata pada 16,293.73, indeks Industri Produk dan Perkhidmatan menaik 0.56 mata pada 208.67 dan indeks Perladangan mekar 64.16 mata pada 7,844.39.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat