Mahu Saman Juruaudit Luar, Saham Serba Dinamik Susut

643

Harga saham Serba Dinamik Holdings Bhd jatuh kira-kira 2% ketika sesi dagangan Bursa Malaysia pagi ini selepas syarikat berkenaan mengumumkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap juruaudit luarnya, KPMG PLT susulan kecuaian profesional, pelanggaran kontrak serta pelanggaran kewajipan statutori.

Pada pukul 9.10 pagi, harga saham Serba Dinamik susut 1 sen atau 1.6% kepada 61.5 sen.

Pada harga 61.5 sen, Serba Dinamik mempunyai nilai pasaran sekitar RM2.28 bilion berdasarkan 3.71 bilion saham terbitan syarikat terbabit.

Sekitar pukul 10.05 pagi, saham ketiga yang paling aktif didagangkan di Bursa Malaysia itu menyaksikan kira-kira 56 juta sahamnya bertukar tangan.

Saham syarikat berkenaan diniagakan antara 60.5 sen dan 64.5 sen setakat ini.

Bernama melaporkan, berikutan ‘situasi yang sedang berlaku,’ spekulasi buruk mengenai Serba Dinamik telah tercetus di pasaran, antaranya menyebabkan kemerosotan ketara harga saham dan keseluruhan permodalan pasaran.

Dalam kenyataannya semalam, Serba Dinamik berkata, keadaan itu mengakibatkan pihaknya dan KPMG menemui jalan buntu, menyebabkan timbul beberapa isu tertentu
dalam proses auditnya.

“Selepas penilaian yang komprehensif mengenai perkara ini dan mendapatkan nasihat guaman, kami berpendapat bahawa Serba Dinamik mempunyai tuntutan yang baik dan boleh dakwa ke atas KPMG disebabkan tindakan atau kurangnya tindakan mereka yang enggan menyelesaikan audit itu,” kata syarikat berkenaan.

Menurut Serba Dinamik, penemuan yang dibangkitkan oleh KPMG ‘tidak bersifat substantif yang memerlukan kajian semula bebas’ dan isu yang dialami juruaudit itu ‘benar-benar disebabkan kecuaian mereka sendiri’.

Jelas Serba Dinamik, tindakan KPMG akhirnya menemukan jalan buntu dan sebaik sahaja perkara ini diketahui di pasaran terbuka, telah menyebabkan penurunan mendadak terhadap harga saham, permodalan pasaran dan keyakinan umum.

Ujar Pengerusi Serba Dinamik, Datuk Mohamed Ilyas Pakeer Mohamed, bagi menyelesaikan sebarang kebimbangan dengan pengawal selia dan pasaran, Serba Dinamik akan terus menyiasat isu-isu yang dibangkitkan KPMG dan mengumumkan penemuannya.

“Perkara yang digariskan oleh KPMG telah dibangkitkan dalam mesyuarat khas lembaga pengarah pada 3 Mei lalu yang mana KPMG menunjukkan mereka tidak bersedia untuk melengkapkan audit itu melainkan kajian semula bebas oleh pihak ketiga dijalankan terhadap dakwaan penemuan yang dinyatakan KPMG,” jelasnya.

Tambah Mohamed Ilyas, KPMG telah menyebabkan masalah audit ini menjadi lebih serius.

“Ini menyebabkan, pemegang saham menanggung kerugian. Kami telah mengalami kerugian permodalan pasaran sekitar lebih RM3 bilion, ia bukan sedikit bagi sebuah syarikat minyak dan gas,” katanya.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat