Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Zafrul Aziz berkata Malaysia perlu mengekalkan peranannya sebagai negara ‘neutral’ bagi memperkukuhkan ekosistem sektor teknologi sebagai destinasi pelaburan antarabangsa.
Katanya lagi, ekonomi Malaysia yang terbuka berpotensi menjalinkan hubungan baik dengan semua negara.
Malaysia dan Singapura adalah dua negara Asia Tenggara yang telah lama terlibat dalam sektor semikonduktor. Malaysia berusia lebih 50 tahun dan mempunyai ekosistem baik, hampir lengkap dan matang.
Selain itu, aliran masuk pelaburan Malaysia yang kukuh dicerminkan dalam data terkini yang menunjukkan pelaburan diluluskan sebanyak RM83.7 bilion dalam pelbagai bidang pada suku pertama dan menandakan peningkatan 13% daripada RM74.1 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas.
MITI menjangkakan keluaran dalam negara kasar berkembang 5.8% pada suku kedua 2024 dengan sektor pembuatan berkembang sebanyak 4.7% hasil rangsangan oleh sektor elektrik dan elektronik terutamanya semikonduktor.
Dari segi perdagangan, Malaysia telah menandatangani 16 perjanjian perdagangan bebas (FTA), termasuk perjanjian pelbagai hala dan dua hala seperti Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik serta Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau.
Antara FTA yang terlibat adalah BRICS yang bukan blok ekonomi tetapi kumpulan yang membincangkan isu global selatan.
Malaysia juga bersama-sama Amerika Syarikat dalam Rangka Kerja Ekonomi Indo-Pasifik. Mereka sedang melihat untuk memulakan perbincangan dengan Kesatuan Eropah mengenai Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-EU.