Masalah EU-UK Dijangka Berlarutan?

160

Perbincangan antara UK dan Kesatuan Eropah (EU) mengenai peraturan perdagangan Ireland Utara berkemungkinan berlarutan sehingga tahun depan.

Naib Presiden Suruhanjaya Eropah, Maros Sefcovic mengatakan beliau mungkin terlalu meletakkan harapan yang tinggi atas kata-katanya sebelum ini bahawa rundingan tersebut boleh diselesaikan sebelum Krismas.

Sefcovic berpendapat bahawa jika ada kemahuan politik yang jelas dari pihak UK, masalah tersebut boleh diselesaikan. Namun, setelah melihat kemajuan yang dicapai dalam tempoh empat minggu lepas, beliau mengatakan mereka tidak akan dapat menyelesaikan semuanya sebelum akhir tahun ini.

Kedua-dua pihak telah bertelagah selama berbulan-bulan mengenai cara mengawal perdagangan antara Britain dan Ireland Utara yang merupakan sebahagian daripada UK tetapi kekal dalam pasaran tunggal EU di bawah Perjanjian Pengeluaran Brexit yang dicapai oleh kedua-dua pihak pada 2019.

Sefcovic menegaskan harapan beliau bahawa UK dan EU masih boleh membuat kemajuan pada minggu ini, terutamanya mengenai isu perdagangan ubat-ubatan antara Britain dan Ireland Utara yang akan merangsang momentum positif untuk perbincangan akan datang.

Isu ubat-ubatan perlu diselesaikan dengan segera memandangkan tempoh penangguhan (grace period) untuk pemeriksaan sempadan dan kelulusan pengawal selia akan tamat pada akhir tahun ini.

Walaupun UK memutuskan untuk melanjutkan tempoh itu secara sepihak, terdapat risiko ketidakpastian dan gangguan perdagangan untuk ubat-ubatan jika kedua-dua pihak tidak mencapai perjanjian sebelum akhir Januari.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat