“Memang jahat betul AS ni, asyik nak ikut je apa yang Israel cakap.”
Firma forensik blockchain Elliptic pada 25 Oktober 2023 berkata bahawa tiada bukti bagi menyokong dakwaan Hamas telah menerima sejumlah besar sumbangan dalam bentuk mata wang kripto untuk membiayai serangannya terhadap Israel.
Elliptic turut menyatakan The Wall Street Journal dan penggubal undang-undang Amerika Syarikat (AS) telah menulis artikel yang menyalahtafsir data supaya orang ramai berpandangan kripto digunakan secara meluas untuk membiayai aktiviti tentera Hamas.
Hal ini kerana kempen pengumpulan dana kripto Hamas dikendalikan oleh saluran berita pro-Hamas dipanggil Gaza Now hanya mengumpul $21,000 sejak serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober 2023.
Daripada $21,000 yang dikumpul, $9,000 telah dibekukan oleh penerbit stablecoin Tether manakala $2,000 lagi dibekukan sejurus selepas ia dihantar ke bursa kripto.
Rentetan itu, Elliptic menghubungi The Wall Street Journal untuk membetulkan kenyataannya yang mengatakan lebih $130 juta dalam kripto telah dikumpul oleh Hamas serta Jihad Islam Palestin antara Ogos 2021 dan Jun 2023.
Sementara firma forensik blockchain Chainalysis pula mendedahkan terdapat satu wallet tertentu diketengahkan oleh media dilaporkan menerima $82 juta sepanjang tujuh bulan, tetapi mereka mendapati hanya $450,000 telah dipindahkan ke wallet.
Senator AS Elizabeth Warren dan penggubal undang-undang baru-baru ini pernah berhujah bahawa kripto telah menimbulkan ancaman keselamatan negara AS dan sekutunya, oleh itu Kongres dan pentadbiran Joe Biden haruslah ambil tindakan keras untuk menanganinya.
Pada tahun 2021, Biro Kebangsaan Israel untuk Pembiayaan Keganasan telah mengeluarkan perintah rampasan untuk wallet kripto yang terikat dengan Hamas, kemudian minta bantuan bursa bagi membekukan akaun digunakan mereka.