“Siapa beli saham COIN mesti untung kan, harganya naik banyak kot.”
Penyokong tegar mata wang kripto Bitcoin (BTC), Cathie Wood yang juga merupakan pengasas syarikat pengurusan pelaburan Ark Invest telah menjual sebahagian kecil saham Coinbase (COIN) dipegangnya untuk mengambil sedikit keuntungan.
Dilaporkan bahawa Ark Invest telah menjual sebanyak 135,152 saham COIN bernilai $12 juta daripada dana dagangan bursa (ETF) beliau yang dipanggil ARK Innovation ETF pada 11 Julai 2023.
Penjualan tersebut telah berlaku apabila COIN melonjak secara mendadak, di mana harganya berjaya melepasi $90 daripada $82 pada dua hari lepas dan ia ditutup pada $89 sejurus selepas Wood jual saham itu.
Menerusi pemerhatian, saham COIN menggunung lebih daripada 60% sepanjang bulan lalu seterusnya meningkat year-to-date sebanyak 140%.
Suka dimaklumkan bahawa ia adalah jualan kali kedua Wood pada tahun ini susulan Ark Invest pada 21 Mac 2023 didapati menjual sekitar 160,887 COIN berharga $84 sesaham daripada Ark Fintech Innovation ETF untuk memperoleh keuntungan $13.5 juta.
Wood yang secara aktif mengumpul sebanyak mungkin COIN untuk Ark Invest telah membeli sekitar $40 juta saham tersebut pada Jun 2023 kemudian kaut lebih $33 juta COIN pada bulan April serta Mei dan $117 juta pada Mac.
Selain Wood, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Coinbase Brian Armstrong dan beberapa eksekutif kanan lain turut menjual secara keseluruhannya sebanyak 88,058 COIN bernilai $6.9 juta semasa harganya meningkat sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Walaupun Coinbase dikenakan tindakan undang-undang oleh Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC) Amerika Syarikat (AS), saham bursa tersebut berjaya menyaksikan kenaikan di tengah-tengah isu pemfailan spot BTC ETF.