MIDF Kekal Saranan Untuk TNB

117

MIDF Amanah Investment Bank Bhd mengekalkan saranan ‘beli’ dan harga sasaran (TP) sebanyak RM11.80 ke atas Tenaga Nasional Bhd (TNB) berikutan keputusan kerajaan untuk mengekalkan rebat Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) sebanyak dua sen setiap kilowatt jam (kWh) kepada semua pelanggan pada separuh kedua tahun ini.

Dalam nota penyelidikan hari ini, bank pelaburan itu berkata, kedudukan rebat tersebut adalah hasil daripada pengurangan dalam kos penjanaan sebenar pada separuh pertama tahun ini berikutan ICPT ditentukan berdasarkan retrospektif enam bulan.

“Walaupun purata harga arang batu untuk tempoh tersebut meningkat kepada AS$70.06/tan, iaitu naik 3.9% daripada harga penanda aras arang batu lanjutan tempoh kawal selia kedua (RP2) sebanyak AS$67.45/tan, harga pasaran rujukan bagi gas sebanyak RM17.16/mmbtu (juta metrik unit termal British) ialah 36.9% lebih rendah daripada harga penanda aras gas lanjutan RP2 sebanyak RM27.20/mmbtu.

“Rebat ini dibiayai oleh penjimatan kos bahan api bersih, yang disalurkan melalui dana Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) dan neutral pendapatan kepada TNB,” jelasnya seperti dilaporkan oleh Bernama.

Sementara itu, tambah bank pelaburan berkenaan, diskaun elektrik yang diumumkan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) berpotensi mengurangkan risiko kutipan untuk TNB berikutan kerajaan pada dasarnya mengambil alih sebagai pembiaya daripada pengguna yang mengalami masalah kewangan walaupun terhad kepada bahagian bil yang menerima diskaun.

Di bawah pakej rangsangan PEMULIH yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, pengguna domestik akan turut menikmati diskaun antara 5% dan 40% pada bil elektrik Julai-September.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat