“Hmmm boleh percaya ke dengan kata-kata pengasas Galaxy Digital ni?”
Semasa temu bual bersama Bloomberg Wealth, pengasas Galaxy Digital Mike Novogratz yang turut merupakan penyokong tegar mata wang kripto telah mendedahkan portfolio pelaburan ideal untuk para pelabur muda.
Sekiranya masih muda dan berani untuk mengambil risiko agak tinggi, Novogratz mencadangkan kepada mereka untuk melabur dalam saham Alibaba, perak, emas, Bitcoin (BTC) dan Ethereum (ETH) susulan ia adalah portfolio paling ideal.
Namun jika mereka berhasrat mengambil risiko lebih rendah, beliau mengesyorkan untuk memperuntukkan hanya 30% daripada portfolio dan baki 70% mereka boleh melabur dalam bon ataupun dana indeks.
Suka dimaklumkan bahawa setelah BlackRock memfailkan permohonan untuk spot BTC ETF pada bulan Jun lepas, Novogratz semakin yakin terhadap BTC susulan ia merupakan pembangunan BTC terbesar pada tahun 2023.
Memang tidak dinafikan Fink iaitu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Blackrock pada mulanya tidak percaya BTC, tetapi sekarang beliau berkata aset digital itu adalah mata wang global dan semua orang di seluruh dunia akan mempercayainya.
Novogratz juga memberi pandangannya dengan menyatakan bahawa harga BTC berupaya mencapai paras tertinggi baharu sekiranya Federal Reserve (Fed) mengurangkan kenaikan kadar faedah dan tidak bertindak agresif dalam dasar monetari mereka.
Susulan Hakim Analisa Torres memutuskan Ripple bukanlah sekuriti, seluruh pasaran kripto termasuk BTC juga dapat memberi reaksi positif susulan keputusan itu adalah kemenangan besar untuk aset digital kerana ini dapat membuktikan SEC tidak mempunyai peraturan yang jelas.