Menuju dagangan ke penghujung minggu, pelabur semakin melihat pergerakan pasaran yang lebih jelas dengan reaksi ketara pada beberapa mata wang utama.
Menutup dagangan bagi bulan Oktober semalam, US dolar dilihat paparkan isyarat untuk mengukuh semula setelah prestasi agak suram dari awal minggu ini.
Pada Rabu lalu, laporan pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat (AS) untuk suku ketiga 2024 menunjukkan bacaan awal yang lebih rendah iaitu 2.8% berbanding ramalan 3.0%, sedikit menurun dari bacaan pada suku kedua.
Sementara, angka pertambahan pekerjaan swasta AS pada data ADP cemerlang dengan peningkatan yang tinggi kepada 233,000 pada Oktober, jauh mengatasi ramalan 110,000.
Ini mencerminkan gambaran yang kukuh pada sektor buruh selain memberi isyarat positif untuk laporan pekerjaan NFP yang bakal diterbitkan pada hari ini (Jumaat) di sesi New York sebentar lagi.
Pada Khamis semalam pula, komponen inflasi tumpuan Federal Reserve (Fed) diperhatikan dengan bacaan bagi indeks harga PCE yang mengukur perbelanjaan peribadi pengguna AS tepati ramalan untuk sedikit meningkat pada September berbanding Ogos.
Penganalisis menjangkakan US dolar akan kembali memaparkan prestasi yang sebenar pada pembukaan dagangan November namun dalam suasana berhati-hati menjelang beberapa tumpuan penting.
Ketika pelabur berwaspada dengan ketidaktentuan menjelang pilihan raya presiden pada minggu hadapan, turut akan dinantikan adalah keputusan mesyuarat FOMC yang terbaru setelah pada September lalu Fed telah bertindak menurunkan kadar faedah sebanyak 50 mata asas.
Pasaran meletakkan jangkaan yang tinggi untuk Fed laksanakan penurunan kadar yang lebih kecil kali ini, ketika masih meneruskan pelonggaran dasar monetari.
Pound antara mata wang dengan prestasi tercorot semalam sementara Yen kembali mengukuh susulan isyarat hawkish oleh Bank of Japan (BOJ) setelah mengumumkan kadar faedah kekal 0.25%.
Pasaran komoditi juga mengejutkan pelabur apabila harga emas paparkan kejatuhan ketara setelah rekod tertinggi terbaru dicapai pada $2,950.