Pasaran Dijangka Pasif Minggu Ini Digerakkan Oleh Sentimen Berisiko

239

Dagangan pada minggu ini dijangka akan bergerak perlahan dengan kekurangan data-data penting yang menghiasi pasaran sementara sentimen semasa pasaran masih memberikan kegusaran terhadap para pelabur.

Pada minggu lalu, keputusan mesyuarat polisi empat bank pusat utama yang diumumkan pada hari yang sama tidak memberikan impak yang ketara terhadap pergerakan pasaran.

Perkembangan rundingan dagang antara Amerika Syarikat dan China juga masih tidak meyakinkan para pelabur untuk kedua-dua ekonomi terbesar dunia itu bakal mencapai persetujuan dalam masa yang terdekat.

Kebimbangan terhadap pasaran minyak mentah pula sudah mulai reda selepas insiden serangan ke atas fasiliti terbesar minyak di Arab Saudi. Menteri Tenaga Arab Saudi telah mengumumkan bahawa operasi minyak mentah akan kembali pulih sepenuhnya dalam jangka masa yang singkat.

Menteri Luar Arab Saudi menyatakan bahawa jika benar serangan yang dilancarkan adalah dari Iran, itu merupakan satu pengisytiharan perang.

Perkembangan Brexit juga masih belum memberikan gambaran yang jelas ke arah mencapai persetujuan rundingan susulan kenyataan yang dikemukakan oleh Ketua Suruhanhaya Eropah pada minggu lalu berhubung kelonggaran pada isu sempadan Ireland.

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dilaporkan akan mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri UK Boris Johnson untuk mewujudkan rundingan dagang yang akan bermula pada Julai tahun hadapan.

Dagangan dolar Australia dilihat mengalami penurunan pada dagangan minggu lalu dan pasaran turut menjangkakan bank pusat Australia bakal menurunkan kadar faedah dengan potongan 25 mata asas untuk mesyuarat 1 Oktober minggu hadapan.

Dagangan dolar New Zealand akan menjadi tumpuan pada minggu ini berikutan pengumuman keputusan mesyuarat polisi monetari oleh Reserve Bank of New Zealand (RBNZ) pada Rabu.

 

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat