“Jangan gembira sangat, aset digital sebenarnya banyak halangannya.”
Sejak minggu lepas, seluruh pasaran mata wang kripto telah menyaksikan pergerakan turun naik ketara apabila terdapatnya beberapa peristiwa makroekonomi yang dapat mendorong harga aset digital bertindak balas.
Buktinya, ketidaktentuan pasaran kripto telah tercetus apabila kebimbangan mengenai government shutdown Amerika Syarikat (AS) semakin berleluasa, tetapi perlu diketahui peristiwa itu dapat memberi impak positif pada aset digital.
Kenyataan daripada Federal Reserve (Fed) baru-baru ini berkenaan kenaikan kadar faedah menjelang akhir tahun 2023 turut menyebabkan pasaran kripto termasuk Bitcoin (BTC) berada dalam momentum tidak menentu.
Pada 6 Oktober 2023 pula, harga BTC telah berjaya mencecah $28,200 daripada $27,171 apabila data pekerjaan AS untuk September menunjukkan pasaran buruh kekal kukuh walaupun Fed berpendirian hawkish.
Suka dimaklumkan para pelabur dan pedagang pada masa ini tidak sabar menantikan berita tentang kelulusan spot BTC ETF susulan ia bukan sahaja mampu melonjakkan harga aset digital malah menarik pelbagai institusi untuk menyertainya.
Memang tidak dinafikan BTC dan beberapa altcoin lain telah menunjukkan reaksi positif, tetapi faktor ekonomi luaran, peraturan ataupun acara utama lain dapat mengubah landskap pasaran kripto dalam sekelip mata sahaja.
Sehingga berita ini ditulis, harga BTC menjunam sebanyak 0.44% pada paras $27,846 dalam tempoh 24 jam lalu dengan modal pasaran $543 bilion seterusnya mencatatkan penyusutan 0.11% sepanjang minggu lepas.
Manakala Ethereum (ETH) pula tergelincir sekitar 0.67% pada paras $1,625 dalam masa 24 jam terakhir dan Ripple (XRP) terjun 1.10% pada $0.51.