“Haih ingatkan harga BTC akan volatile rupanya tidak.”
Setelah Federal Reserve (Fed) mengumumkan kenaikan kadar faedah 25 mata asas semasa mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) pagi tadi, harga Bitcoin (BTC) nampaknya tidak beri sebarang reaksi ketara tetapi tetap mengukuh sehingga $29,680.
Manakala mata wang kripto kedua terbesar Ethereum (ETH) turut menyaksikan pergerakan serupa apabila harganya melepasi $1,887 sebelum menyusut semula pada $1,866.
Menerusi pemerhatian, Fed telah menaikkan kadar faedah itu untuk menentang inflasi yang belum berakhir setelah menghentikan kenaikan pada FOMC bulan lepas, di mana ia adalah kali pertama bank pusat Amerika Syarikat (AS) tidak naikkan kadar dalam tempoh 18 bulan.
Pengerusi Fed Jerome Powell berkata bahawa bank pusat berhasrat menentang inflasi yang kini berada pada 3% untuk mencapai sasarannya pada 2% susulan setahun lalu inflasi di AS telah melebihi paras 9%.
Oleh demikian, Powell berkemungkinan menaikkan dua lagi kenaikan kadar faedah pada tahun ini yang membawa makna akan terdapat satu lagi kenaikan pada 2023, bagaimanapun FOMC pada Januari 2024 dijangka bakal menurunkan kadar pertama.
Pun begitu, Powell menyatakan bahawa Fed bukan sahaja masih belum membuat sebarang keputusan mengenai mesyuarat FOMC akan datang malah kadar yang perlu dipertimbangkannya ataupun tindakan dasar monetari mereka.
Ulas Powell lagi, FOMC akan menilai keperluan dalam mengetatkan lagi dasar monetari mahupun tidak berdasarkan mesyuarat demi mesyuarat sambil menambah beliau tidak menjangkakan inflasi jatuh pada 2% sehingga tahun 2025.
Sehingga berita ini ditulis, harga BTC melonjak sebanyak 0.90% pada paras $29,407 dalam tempoh 24 jam lalu dengan modal pasaran $571 bilion tetapi masih mencatatkan terjunan 1.93% sepanjang minggu lepas.
Manakala ETH pula mencanak sekitar 1.02% pada paras $1,873 dalam masa 24 jam terakhir dengan modal pasaran $225 bilion dan Ripple (XRP) raih 1.00% pada $0.71 seterusnya susut 14.20% dalam tempoh tujuh hari lepas.