Pelabur Resah Tunggu Pengumuman OPR Oleh Bank Negara

385

Bursa Malaysia meneruskan kerugian yang dicatatkan semalam untuk dibuka lemah pagi ini dengan sentimen pelabur secara keseluruhan kekal berhati-hati menjelang pengumuman kadar dasar semalaman (OPR) lewat hari ini.

Pada jam 9.10 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menyusut 5.13 mata kepada 1,570.54 daripada 1,575.67 pada penutupan urus niaga petang semalam.

Bernama melaporkan, indeks utama dibuka 3.58 lebih rendah pada 1,572.09.

Di pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi untung 321 berbanding 165 sementara 297 kaunter tidak berubah, 1,373 tidak diniagakan dan 15 yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 470.74 juta saham bernilai RM332.50 juta.

Dataprep Holdings Bhd merupakan kaunter paling utama setakat ini apabila sahamnya melonjak sebanyak 14 sen kepada RM2.09 dengan 6.88 juta saham didagangkan.

Sementara itu, Transocean Holdings Bhd menjadi kaunter paling rugi setakat ini selepas susut 35 sen kepada RM6.30 meskipun sejumlah 53,700 sahamnya diniagakan.

Saham paling aktif di bursa tempatan setakat ini adalah Tanco Holdings Bhd yang telah meningkat 1 sen kepada RM1 dengan 37.15 juta sahamnya bertukar tangan.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, pasaran secara meluas mungkin terus stabil berikutan kebimbangan mengenai peluasan perintah kawalan pergerakan (PKP 3.0) ke beberapa daerah di Johor, Perak dan Terengganu yang dijangka mengurangkan minat belian hari ini.

Katanya, pelabur akan turut memantau pengumuman OPR oleh Bank Negara Malaysia (BNM) selepas ramai penganalisis menjangkakan BNM akan mengekalkan kadar faedah pada 1.75% pada mesyuarat ketiganya lewat hari ini.

“Selain itu, kerajaan telah melancarkan rangsangan Jaringan Prihatin bernilai RM3.5 bilion untuk membantu langganan pelan data dan pembelian peranti mudah alih.

“Bagi komoditi pula, harga minyak telah meningkat, didorong oleh permintaan bahan bakar yang lebih tinggi di tengah-tengah pelonggaran sekatan pergerakan di Amerika Syarikat (AS) dan sebahagian Eropah pada musim panas,” tambahnya.

Firma penyelidikan itu menjangkakan pelancaran Jaringan Prihatin dapat memberi sinar kepada sektor telekomunikasi.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank naik satu sen kepada RM8.22, Public Bank turun satu sen kepada RM4.10 dan PetChem tidak berubah pada RM8.16.

Bagi saham aktif pula, Tanco menokok satu sen kepada 10 sen, KTG naik setengah sen kepada 22.5 sen, Dataprep meningkat 22 sen kepada RM2.17 dan Saudee lebih tinggi tiga sen kepada 22.5 sen.

Daripada kaunter untung, Widetech naik 32 sen kepada RM1.30, F&N dan KLK masing-masing menambah 16 sen kepada RM29.18 dan RM21.76.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 41.20 mata pada 11,563.64, Indeks FBM Emas Syariah susut 64.71 mata kepada 12,941.18, Indeks FBMT 100 merosot 38.96 mata kepada 11,217.44, FBM 70 menguncup 61.84 mata kepada 15,219.77 dan FBM ACE kehilangan 64.97 mata kepada 8,404.97.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri turun 0.30 mata kepada 197.99, Indeks Perladangan naik 9.40 mata kepada 6,926.25 sementara Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 9.14 mata kepada 14,765.30.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat