Penganalisis Jangka 3 Kaunter Ini Jadi Tumpuan

3,008

Bursa Malaysia dibuka rendah pada hari ini dalam persekitaran petunjuk yang lemah daripada Wall Street semalaman.

Pada pukul 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 3.77 mata kepada 1,603.80 berbanding 1,607.57 ketika ditutup semalam.

Lapor Bernama, indeks barometer pasaran dibuka 2.70 mata lebih tinggi pada 1,604.87.

Suasana pasaran negatif berikutan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 248 berbanding 173, manakala 319 kaunter tidak berubah, 1,426 tidak diniagakan dan 7 lagi digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 366.08 juta saham bernilai RM201.39 juta.

Menurut Malacca Securities, meskipun sentimen pasaran dijangka kurang memberangsangkan, menjejaki penurunan Wall Street, bursa tempatan mungkin disokong oleh minat belian saham berpendapatan tinggi menjelang laporan pendapatan suku tahun syarikat.

Pasaran saham Amerika Syarikat (AS) terus merosot pada Selasa berikutan Dow jatuh 0.8% dalam persekitaran kes Covid-19 yang meningkat, mempengaruhi sejumlah pendapatan korporat yang kukuh baru-baru ini.

Di Asia, saham ditutup kebanyakannya rendah semalam manakala harga minyak susut daripada paras tertinggi dalam tempoh sebulan pada Isnin lalu berikutan kebimbangan mengenai kemungkinan penguatkuasaan sekatan di India untuk membendung peningkatan jangkitan serta kematian disebabkan Covid-19.

Dalam negara, Malacca Securities berkata, ‘trader’ dijangka memberi tumpuan kepada kaunter perladangan susulan harga minyak mentah sawit meningkat semula melebihi RM3,800 satu tan.

“Selain itu, kami menjangka akan menyaksikan minat belian di kaunter sarung tangan yang lain susulan laporan pendapatan tinggi Kossan yang dikeluarkan semalam dalam persekitaran kes Covid-19 harian yang meningkat.

“Saham berkaitan bahan binaan turut menjadi tumpuan berikutan kenaikan harga bahan mentah,” katanya dalam nota hari ini.

Kebanyakan saham wajaran tinggi rendah dengan Press Metal kekal dalam julat negatif, merosot 13 sen kepada RM5.13, manakala Axiata dan Maxis, masing-masing susut lima sen kepada RM3.95 dan RM4.73.

MISC berkurangan sembilan sen kepada RM6.71 dan Digi turun empat sen kepada RM4.21.

Sebaliknya, Top Glove naik empat sen kepada RM5.44 dan Supermax meningkat 10 sen kepada RM5.50.

Dalam kalangan kaunter aktif, Ucrest naik setengah sen kepada 60 sen, Key Asic tidak berubah pada 20.5 sen, Dataprep melonjak 33 sen kepada RM2.33 dan Bina puri tidak berubah pada RM9.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 14.45 mata kepada 11,810.68, FBMT 100 susut 19.09 mata kepada 11,467.46 manakala FBM 70 naik 4.14 mata kepada 15,607.06.

FBM Emas Shariah susut 23.21 mata kepada 13,208.87 dan FBM ACE merosot 10.70 mata kepada 8,581.96.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan berkurangan 1.34 mata kepada 6,878.69, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 7.28 mata kepada 15,085.87 dan Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan merosot 1.02 mata kepada 194.06.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat