“Adakah Alibaba akan lebih berkembang selepas pengerusinya bertukar?”
Alibaba Group, sebuah syarikat teknologi China memfokuskan e-dagang mengumumkan bahawa Joseph Tsai, ahli perniagaan jutawan Taiwan-Kanada bakal menggantikan Daniel Zhang sebagai Pengerusi baharu untuk firma tersebut.
Umum mengetahui Tsai adalah penyokong tegar mata wang kripto yang telah terlibat dengan beberapa projek aset digital, di mana ia pernah mengambil bahagian dalam dua pusingan pembiayaan FTX melalui Blue Pool Capital iaitu sebuah organisasi menguruskan kekayaan peribadi Tsai.
Tsai yang kini berkhidmat sebagai Naib Pengerusi Eksekutif akan mengambil jawatan baharunya itu pada 10 September 2023 manakala Eddie Yongming Wu pula menjadi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Alibaba Group dan mengambil tempat Zhang dalam Lembaga Pengarah.
Menurut Tsai, beliau berikrar akan menjadikan pengkomputeran awan dan artificial intelligence (AI) lebih mudah diakses untuk perniagaan dan industri sambil meneruskan transformasi digital mereka yang paling diimpikan sejak dahulu lagi.
Tambahnya lagi, Wu yang sebelum ini bertugas sebagai Ketua Pegawai Teknologi (CTO) Taobao dan Alipay adalah antara individu berpotensi dalam mereka bentuk platform teknologi dan bimbing hala tuju strategik.
Oleh demikian, Tsai berharap Alibaba dapat terus berkembang di bawah pengurusan baharu dengan memberi sepenuh tumpuan kepada teknologi dan inovasi.
Secara konteks, Tsai yang memiliki nilai kekayaan bersih sebanyak $8 bilion telah lama mempamerkan pendirian positifnya terhadap aset digital apabila beliau pada tahun 2021 telah menulis kenyataan “I like crypto” pada akaun Twitter miliknya.
Selain itu, Blue Pool Capital bukan sahaja menyertai pusingan pembiayaan Polygon bernilai $450 juta pada Februari 2022 malah mengetuai pengumpulan dana Artifact Labs pada Mac tahun ini.