“Adakah BTC akan mulakan pergerakan bullish ataupun ini hanyalah sementara sahaja?”
Harga ibu segala mata wang kripto Bitcoin (BTC) semalam berjaya melepasi $26,800 apabila institusi kewangan terkemuka Deutsche Bank mengumumkan akan menawarkan perkhidmatan penjagaan (custody) aset digital.
Demi menyampaikan perkhidmatan itu untuk para pelanggan institusi yang ingin menguruskan aset digitalnya secara selamat, Deutsche Bank telah memeterai perjanjian bersama firma aset digital Switzerland dipanggil Taurus.
Memang tidak dinafikan harga BTC menyaksikan kenaikan apabila berita mengenai Deutsche Bank itu dikeluarkan, tetapi penganalisis tetap bersikap berhati-hati susulan daripada mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang akan berlaku pada minggu depan.
Rentetan itu, keputusan oleh Pengerusi Fed Jerome Powell mungkin memberi kesan kepada harga BTC susulan pedagang akan lebih berminat untuk beli aset digital tersebut jika bank pusat berhasrat melonggar dasar monetari sepanjang tahun 2023 yang tinggal beberapa bulan lagi.
Suka dimaklumkan juga harga BTC dapat mendaki sedikit pada hari Khamis semalam selepas Bank Pusat Eropah (ECB) memberi isyarat bahawa kenaikan kesepuluh berturut-turut kadar faedah utamanya mungkin yang terakhir.
Menurut penganalisis kripto popular Michael van de Poppe, BTC akan memberi isyarat penurunan yang jelas apabila harganya kembali semula pada julat $25,600 sehingga $25,900, sebaliknya ia juga boleh bangkit semula jika aset digital itu dapat tembus $26,800.
Sehingga berita ini ditulis, harga BTC melonjak sebanyak 0.98% pada paras $26,493 dalam tempoh 24 jam lalu dengan modal pasaran $518 bilion seterusnya mencatatkan kenaikan 0.68% sepanjang minggu lepas.