“Biar betul? Takut tiba-tiba semua orang tak berminat dengan kripto macam mana.”
Para pelabur mata wang kripto kini sedang mengawasi situasi di Israel yang diserang secara mengejut pada Sabtu lepas oleh Hamas iaitu kumpulan pejuang yang mengawal Semenanjung Gaza yang merupakan wilayah pantai Palestin.
Pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh melancarkan operasi ‘Taufan Al-Aqsa’ sebagai balasan terhadap rejim zionis susulan mencabuli masjid Al-Aqsa dan melakukan kezaliman ke atas tahanan Palestin di penjara Israel.
Susulan kembimbangan di kalangan pelabur mengenai ketidakstabilan berterusan di rantau tersebut telah tercetus, ramai individu akan mula beralih pada pelaburan lebih selamat sekali gus meningkatkan permintaan aset safe-haven.
Peristiwa geopolitik di Timur Tengah yang memberi kesan besar pada pasaran kewangan telah menyebabkan pelabur lebih bersikap berhati-hati dalam tingkah lakunya yang ingin mencari perlindungan melalui aset safe-haven seperti emas, dolar AS dan juga kripto.
Namun perlu diketahui bahawa serangan mengejut Hamas di Israel telah menyebabkan kripto sebagai pilihan yang agak menarik untuk dibeli berbanding emas dan dolar AS susulan ia menawarkan sempadan baharu dalam sekuriti kewangan.
Sebelum ini juga, ketika perang tercetus antara Rusia dan Ukraine, pasaran kripto dilihat bertahan dengan harga Bitcoin tidak mengalami kejatuhan sementara instrumen dagangan yang lain sedang bercelaru.
Jadi di sini dapat dilihat ketegangan geopolitik berterusan dapat menjadi pemangkin untuk meningkatkan minat aset digital sebagai pelaburan safe-haven, ditambah pula Bitcoin (BTC) baru-baru ini makin dianggap sebagai “emas digital”.
Bukan itu sahaja, penggunaan kripto juga dapat memudahkan transaksi rentas sempadan, menjalankan perdagangan antarabangsa di luar sistem perbankan tradisional serta menyediakan akses kewangan kepada individu yang terjejas disebabkan pergolakan politik.
Oleh demikian, konflik Timur Tengah pada masa ini secara tidak langsung dapat menunjukkan bagaimana aset digital mampu meningkatkan pelaburan global dan pemerkasaan kewangan di tempat yang dilanda krisis.