Perolehan Q1 Susut, Saham Malakoff Merosot

280

Saham Malakoff Corp Bhd diniagakan rendah pada sesi dagangan awal hari ini selepas mencatatkan prestasi kewangan yang rendah pada suku pertama berakhir 31 Mac 2021 (1QFY21).

Pada pukul 11.35 pagi, Malakoff susut setengah sen kepada 81.5 sen dengan 1.16 juta saham didagangkan.

Pengeluar tenaga bebas berkenaan merekodkan keuntungan bersih yang rendah sebanyak RM60.44 juta pada 1QFY21, merosot hampir satu pertiga daripada RM89.18 juta pada tahun sebelumnya berikutan sumbangan yang rendah daripada kilang arang batu Tanjung Bin Power Sdn Bhd dan Tanjung Bin Energy Sdn Bhd susulan penurunan harga arang batu.

Bernama melaporkan, dalam tempoh tersebut, perolehan turut merosot kepada RM1.35 bilion daripada RM1.77 bilion disebabkan pembayaran tenaga yang rendah.

Dalam pada itu, Kenanga Research berkata, keuntungan bersih pada suku pertama 2021 sebanyak RM60.4 juta adalah di bawah jangkaannya untuk gangguan berjadual yang meningkatkan kos operasi serta pengurusan Tanjung Bin Energy dan Tanjung Bin Power serta pengurangan pembayaran air dan tenaga yang menjejaskan pendapatan syarikat bersekutu.

“Bagaimanapun, kami masih menjangkakan tahun kewangan 2021 yang lebih baik berikutan tahun kewangan 2020 telah mengalami gangguan pada separuh kedua tahun itu,” jelasnya menerusi nota penyelidikan.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat