PKPB Dilaksanakan, Ekonomi Diunjur Tidak Terjejas Teruk

169

Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya tidak akan memberi kesan besar terhadap aktiviti perniagaan selepas firma-firma masih dibenarkan beroperasi berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan terhadap setiap industri.

Menerusi laporan MIDF Research, impak besar PKPB terhadap ekonomi tentunya disebabkan oleh perbelanjaan pengguna yang lemah dan kesan limpahannya terhadap industri perkhidmatan terutamanya sub sektor berkaitan penggunaan terutamanya perdagangan runcit, restoran, hotel, pelancongan, pendidikan dan perkhidmatan rekreasi.

“Berhubung itu, dari segi pertumbuhan ekonomi, kami menjangkakan impak PKPB terhadap pertumbuhan ekonomi nasional bagi suku keempat tahun 2020 (4Q20) adalah minimal. Oleh itu, kami mengekalkan unjuran penguncupana Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak -4.8% untuk tahun ini,” kata firma penyelidikan terbabit.

Tambah MIDF Research, perbelanjaan pengguna akan disokong oleh peningkatan pembelian secara atas talian yang dibantu oleh kemudahan platform e-dagang, perkhidmatan penghantaran ke rumah dan perkhidmatan kewangan secara atas talian termasuklah e-wallet dan perbankan Internet.

Selain itu, MIDF Research juga mengatakan perkhidmatan telekomunikasi akan menerima kesan positif daripada peningkatan kebergantungan orang ramai terhadap perkhidmatan Internet yang didorong oleh pertambahan jumlah pembelian atas talian dan arahan bekerja dari rumah.

Bagaimanapun, menurut firma terbabit, amanah pelaburan hartanah (REITS) akan terjejas teruk.

Firma penyelidikan itu turut mengekalkan unjuran FBM KLCI untuk akhir tahun ini pada 1,400 mata. Firma itu percaya pelabur perlu memilih saham yang berpotensi dengan asas yang kukuh, pendapatan defensif dan hasil dividen yang menarik.

Antara saham-saham yang berpotensi adalah Favelle Favco Bhd, UEM Edgenta Bhd, BIMB Holdings Bhd, Ranhill Utilities Bhd, Gas Malaysia Bhd, Tenaga Nasional Bhd (TNB), Top Glove Corp Bhd, Sunway Construction Group Bhd, IJM Corp Bhd, Dialog Group Bhd, Supermax Corp Bhd dan Tasco Bhd.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat