Sesi pasaran Eropah memperlihatkan bacaan data pekerjaan UK yang bercampur-campur.
Menurut Pejabat Statistik Negara (ONS), kadar pengangguran meningkat kepada 3.8% dalam tempoh tiga bulan hingga Februari, berbanding jangkaan untuk kekal pada 3.7% seperti yang dicatatkan sebelumnya.
Selain itu, jumlah tuntutan pengangguran pula tanpa dijangka meningkat sebanyak 28,200 pada Mac, menyusuli penurunan 11,200 yang dicatatkan pada Februari.
Walaupun kadar pengangguran masih berada di sekitar paras terendah, tetapi ia menunjukkan tanda-tanda bahawa kekuatan pasaran buruh semakin berkurangan.
Sementara itu, purata pendapatan mingguan tidak termasuk bonus, tidak berubah pada 6.6% dalam tempoh tiga bulan hingga Februari. Ukuran termasuk bonus pula mencatatkan peningkatan lebih tinggi kepada 5.9% daripada jangkaan 5.1%.
Walaupun kadar pertumbuhan upah dilihat terus kukuh, tetapi dalam terma sebenar, jumlah gaji turun 3% manakala gaji tetap susut 2.3%.
Reaksi mata wang menunjukkan pound meningkat tinggi pada awal sesi Eropah, selain turut disokong oleh US dolar yang menyusut.
Tumpuan pelabur seterusnya akan disasarkan kepada keluaran data inflasi UK pada hari Rabu.