Rakyat UK Mungkin Terseksa, Tapi Ini Untuk Baiki Ekonomi! – Menteri Kewangan

184

Bertanggungjawab untuk memulihkan semula pasaran kewangan dan mengurangkan risiko kemelesetan berterusan, Menteri Kewangan UK Jeremy Hunt berkata beliau perlu menaikkan cukai dalam pelan belanjawannya.

Seperti yang diuar-uarkan sebelum ini, belanjawan baharu yang akan dibentangkan pada Khamis minggu ini dipercayai akan memperlihatkan kerajaan itu bertindak meningkatkan cukai dan memotong perbelanjaan.

Ini susulan ‘bajet mini’ bekas Perdana Menteri Liz Truss yang telah mencetuskan kejatuhan pasaran bon sehingga menyebabkan kos pinjaman melambung tinggi pada September.

Memetik kepada temu bual Hunt dan Sunday Times, beliau dikatakan merancang untuk menangani ‘lubang fiskal’ £55 bilion dalam bajet Britain dengan membekukan had dan elaun cukai pendapatan, insurans negara, cukai warisan dan pencen untuk dua tahun.

‘Lubang fiskal’ bukan bermaksud defisit belanjawan atau tahap hutang awam, tetapi ia adalah jurang dalam kewangan awam antara apa yang dijangkakan dan disasarkan oleh kerajaan.

Dalam konteks ini, Hunt mahukan hutang awam jatuh sebagai bahagian keluaran dalam negara kasar, dan beliau mensasarkan tempoh selama lima tahun untuk mencapai sasaran itu.

Sementara itu dalam temu bual berasingan dengan BBC, menteri kewangan itu menyatakan kebimbangannya terhadap isu kekurangan buruh di UK yang dilihat impaknya lebih besar kepada ekonomi berbanding Brexit.

Beliau berjanji untuk berusaha dalam menangani kekangan yang dihadapi oleh perniagaan dalam pengambilan pekerja menerusi belanjawannya yang akan datang.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat