Reaksi USD Terpesong Daripada Landasan, Apa Dah Berlaku?

363

US dolar sekali lagi ‘terpesong’ daripada jangkaan untuk menguat selepas Federal Reserve (Fed) menaikkan kadar faedah sebanyak 75 mata asas pada mesyuarat polisi terbarunya.

Berbanding kebanyakan mata wang utama, raja mata wang itu menyusut ke paras terendah hampir tiga minggu selepas Pengerusi Jerome Powell meredakan kebimbangan pasaran tentang pengetatan monetari yang agresif berterusan.

Powell memberitahu kenaikan kadar yang besar mungkin sesuai untuk mesyuarat Fed akan datang tetapi keputusan tersebut bergantung kepada data dan mereka tidak lagi akan memberi panduan mengenai penetapan dasar ke hadapan.

Menambah sokongan buat sentimen pasaran adalah apabila Powell berkata beliau tidak melihat AS kini berada dalam kemelesetan dengan merujuk kepada kadar pengangguran yang rendah dan pengukuhan pertumbuhan gaji dan pekerjaan.

Hal ini telah mendorong pasaran saham Wall Street untuk melonjak dan menyebabkan US dolar pula susut rendah susulan kemungkinan kadar kenaikan akan diperlahankan.

Mata wang euro dan pound pula meningkat dengan memanfaatkan penyusutan US dolar, namun pergerakan harga dilihat masih berada pada zon mendatar sejak minggu lalu.

Sementara dagangan mata wang Asia pula memperlihatkan dolar Aussie dan New Zealand yang turut melonjak dengan dolar Aussie juga mendapat sokongan daripada data inflasi Australia yang terus mengukuh pada suku kedua.

Dolar Kanada juga meninggi dengan dorongan daripada dagangan minyak mentah yang positif manakala mata wang yen turut lebih kukuh susulan penyusutan dalam hasil bon AS.

Tumpuan pelabur kini disasarkan kepada penerbitan data ekonomi Amerika Syarikat untuk suku kedua yang boleh mempengaruhi pergerakan pasaran mata wang.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat