Ringgit Terus Susut Berbanding USD, Kukuh Berbanding Mata Wang Utama Lain

81

Ringgit menyambung kejatuhannya berbanding dolar AS sejak Selasa berikutan permintaan tinggi dolar AS dalam pasaran pertukaran mata wang asing.

Tepat jam 10.30 pagi, ringgit turun kepada 4.7120 berbanding USD daripada ia ditutup pada 4.7019 semalam.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Dolar AS (DXY) dan hasil Perbendaharaan AS naik lebih tinggi buat masa ini bagi mencerminkan lanjutan pengetatan dasar oleh Federal Reserve (AS) terhadap dasar monetari.

DXY menembusi 105 mata selepas kekal pada sekitar 104 mata sejak beberapa hari ini. Nota Perbendaharaan AS 10 tahun pula menghasilkan enam mata asas lebih tinggi kepada 4.61%.

Katanya lagi, ringgit akan terus kekal lemah kerana permintaan terhadap dolar AS masih tinggi.

Walau bagaimanapun, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding kumpulan mata wang utama kecuali yen Jepun.

Unit tempatan itu menambah nilai berbanding euro kepada 5.0903/0946 daripada 5.1032/1065 pada penutup Rabu dan meningkat berbanding pound British kepada 5.9847/9898 daripada 6.0010/0049 semalam.

Ia lebih rendah sedikit berbanding yen Jepun kepada 2.9957/9987 daripada 2.9923/9944 penutup Rabu.

Ringgit mencatat prestasi kebanyakannya lebih rendah berbanding rakan setara Asean.

Ia mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.7729/7886 daripada 12.7938/8068 pada penutup Rabu. Ia susut berbanding rupiah Indonesia kepada 291.7/292.1 daripada 290.9/291.3 dan jatuh berbanding peso Filipina kepada 8.05/8.06 daripada 8.04/8.05.

Ia juga lemah berbanding dolar Singapura kepada 3.4854/4886 daripada 3.4850/4875 semalam. – Bernama

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat