Rusia Bakal Terima Padah! EU Sedang Siapkan Sekatan Seterusnya

840

Kesatuan Eropah (EU) dilaporkan sedang mengusahakan pakej sekatan baharu terhadap Rusia yang berkemungkinan akan menyaksikan lebih banyak larangan akan dikenakan susulan tindakan terbaharunya di utara Ukraine.

Menurut dua sumber yang mengetahui perkara itu, EU mungkin akan menyekat pemajakan kapal terbang dan barangan import eksport seperti bahan api jet, produk keluli dan barangan mewah.

Bagaimanapun, blok itu masih berbelah bahagi sama ada akan memperluaskan sekatan tersebut kepada import tenaga memandangkan ia mempunyai kebergantungan yang tinggi terhadap Rusia.

Pada hujung minggu, dunia digegarkan dengan laporan mengenai pembunuhan besar-besaran orang awam di Bucha, bandar yang telah diambil semula susulan pengunduran tentera Rusia di sekitar Kiev baru-baru ini.

Ekoran daripada itu, ia telah mencetuskan pelbagai desakan di kalangan negara anggota EU supaya blok itu bertindak lebih keras dalam menghukum Rusia kerana pencerobohannya ke atas Ukraine.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron memberitahu pada Isnin bahawa EU perlu bersetuju untuk menyekat minyak dan arang batu dari Moscow berikutan kekejaman yang dilaporkan di Bucha.

Walau bagaimanapun, terdapat sekumpulan negara EU yang menentang keras untuk meluluskan sebarang sekatan tenaga.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat