Rusia Berminat Capai Kesepakatan Dalam Rundingan Dengan Ukraine?

2,522

Kenyataan terbaharu daripada perunding Rusia, Vladimir Medinsky bahawa negara itu berminat untuk mencapai kesepakatan dalam rundingannya dengan Ukraine telah membawa sinar buat pasaran pada sesi Eropah.

Sebelum ini terdapat laporan yang mengatakan bahawa satu delegasi Ukraine dijadualkan bertemu Rusia ‘tanpa syarat’ pada hari Isnin di sempadan dengan Belarus. Menurut Medinsky, rundingan tersebut dijangka bermula pada jam 5 petang waktu Malaysia.

Ukraine berkata matlamat utama rundingan ialah gencatan senjata dengan segera dan pengunduran tentera Rusia. Walau bagaimanapun, Presiden Ukraine, Vladimir Zelensky hanya melihat sedikit prospek bahawa rundingan tersebut akan berakhir dengan kesepakatan.

Susulan daripada kenyataan Medinsky, US dolar sedikit tergelincir tetapi masih mempertahankan pengukuhannya untuk didagangkan lebih tinggi berbanding pesaing utamanya.

Mata wang Rusia, rubel terus menerima tekanan selepas menjunam hampir 30% ketika sekatan daripada negara-negara Barat dan sekutu mereka terhadap ekonominya semakin dirasai.

Bank Pusat Rusia telah cuba untuk meringankan beban yang ditanggung dengan menggandakan kadar faedah kepada 20%, tetapi ia tidak dapat mengurangkan tekanan bagi mata wang rubel.

Euro kekal didagangkan di sekitar paras terlemah sejak Jun 2020 meskipun sedikit meningkat susulan kenyataan Medinsky. Sementara pound pula mendatar pada paras terendah dua bulan.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat