Sasaran Asas Bursa Malaysia Diunjur 1,700 Mata

426

MIDF Amanah Investment Bank Bhd (MIDF Investment) mengekalkan sasaran asas akhir tahun ini yang diunjurkannya bagi FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) pada 1,700 mata.

Menurut bank pelaburan berkenaan, semakan meningkat ke atas agregat pendapatan hadapan komponen FBM KLCI adalah hampir keseluruhannya disumbangkan oleh sektor penjagaan kesihatan manakala perladangan dilihat memberi dorongan tambahan bersifat marginal.

“Bagaimanapun sektor barangan dan perkhidmatan pengguna; kewangan; telekomunikasi dan media serta utiliti dijangka menunjukkan pertumbuhan pendapatan perlahan, manakala pendapatan sektor tenaga; perindustrian; serta pengangkutan dan logistik dijangka kekal tidak berubah.

“Susulan prestasi keseluruhan bercampur-campur, kami mengekalkan sasaran asas bagi akhir 2021 ke atas FBM KLCI pada 1,700 mata,” jelas MIDF Investment dalam nota penyelidikan hari ini.

Tambah MIDF Investment, agregat pendapatan yang dilaporkan oleh 30 komponen FBM KLCI telah meningkat kepada RM15.25 bilion pada suku keempat tahun kalendar 2020.

Bernama melaporkan, itu merupakan pertumbuhan positif bagi prestasi suku ke suku dan tahun ke tahun masing-masing pada 14.5% dan 21.4%.

“Berdasarkan pelarasan, agregat pendapatan normal 30 komponen FBM KLCI pada suku keempat tahun kalendar 2020 meningkat secara berturutan pada 13.5% suku ke suku dan 21.6% tahun ke tahun kepada RM15.38 bilion, tertinggi sejak suku kedua tahun kalendar 2017 kerana didorong oleh prestasi luar biasa kaunter penjagaan kesihatan khususnya sarung tangan yang secara kolektif mencatatkan pertumbuhan pendapatan 822.3% tahun ke tahun,” menurutnya.

Bagi saham di bawah liputan MIDF, peratusan syarikat yang mencatatkan pendapatan lebih rendah daripada jangkaan MIDF, susut kepada 21% pada suku keempat tahun kalendar 2020 berbanding 23% pada suku sebelumnya.

Sebaliknya, jelas MIDF Investment, peratusan yang mencatatkan kejutan peningkatan positif menokok kepada 37% daripada 22% bagi tempoh yang sama.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat