Saham-saham utama Wall Street terus mencatat penurunan apabila sentimen kebimbangan meningkat ekoran potensi penarikan balik lebih pantas daripada pakej rangsangan Federal Reserve (Fed) Amerika Syarikat (AS) sementara faktor sama membuatkan hasil bon kerajaan memacu naik.
Saham Asia dan Eropah turut jatuh mendadak selepas indeks saham teknologi tinggi Nasdaq menjunam lebih daripada 3% ada Rabu.
Indeks purata Dow Jones Industrial jatuh 170.64 mata (0.47%) pada 36,236.47, S&P 500 hilang 4.53 mata (0.10%) pada 4,696.05 dan Nasdaq Composite susut 19.31 mata (0.13%) pada 15,080.87.
Sementara saham terus mencatat penurunan, hasil perbendaharaan AS mencatat kenaikan apabila sentimen pelabur bertukar resah dengan pendirian Fed yang lebih hawkish dalam mengawal inflasi dan bekalan.
Hasil penanda aras 10 tahun naik ke paras tertinggi sejak Mac 2021 pada 1.7530%, dan hasil 2 tahun turut mencanak ke paras tertinggi sejak Mac 2020 pada 0.8736%.
Indeks dolar berterusan mencatat kenaikan ke paras tertinggi 14 bulan dengan dolar naik 0.105% dan Euro turun 0.19% pada $1.1291.
Dalam pada itu, data Jabatan Buruh AS menunjukkan kenaikan bilangan rakyat Amerika yang memfailkan tuntutan baharu bagi faedah pengangguran dan Institut Pengurusan Bekalan (ISM) menyatakan aktiviti bukan pembuatan susut pada bulan Disember telah menambah kebimbangan.
Selain itu, pelabur kini sedang memberi tumpuan kepada laporan pekerjaan NFP AS yang akan dikeluarkan pada Jumaat.
Harga minyak mentah AS naik 2.1% pada $79.50 setong dan minyak mentah Brent naik 1.5% pada $81.99.
Spot emas jatuh 1.2% pada $1,788.22 per auns dan niaga hadapan emas jatuh 2.1% pada $1,787.10 per auns.
Bitcoin turun 0.63% pada $43,164 di mana mata wang kripto merupakan antara yang paling teruk terjejas dalam penjualan semalaman pasaran.