Serba Dinamik Makin Tidak Keruan, Catat Paras Terendah Baharu!

1,270

Harga saham Serba Dinamik Holdings Bhd merekodkan penyusutan ke paras terendah baharu sepanjang masa iaitu 50 sen pada sesi pagi dagangan di Bursa Malaysia berikutan pengumuman KPMG PLT meletakkan jawatan sebagai juruaudit luarnya semalam.

Hari ini, harga saham Serba Dinamik susut 4 sen atau 7.48% kepada 49.5 sen sebelum merekodkan kerugian pada paras 52 sen sekitar pukul 9.57 pagi, dengan permodalan pasaran sekitar RM1.93 bilion

Syarikat itu mempunyai 3.71 bilion saham terbitan. Kaunter itu merupakan kaunter kedua paling aktif diniagakan setakat ini dengan sekitar 75 juta saham bertukar tangan.

Serba Dinamik dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia semalam berkata, notis peletakan jawatan itu menyatakan bahawa saman yang telah difailkan pada 22 Jun lepas terhadap KPMG PLT berhubung audit berkanun berterusan syarikat bagi tempoh kewangan berakhir 30 Jun 2021, telah menjejaskan keupayaan juruaudit itu untuk meneruskan auditnya secara profesional.

”Syarikat kini sedang mengenal pasti juruaudit baru untuk dilantik, sesuai dengan Seksyen 271(2)(b) Akta Syarikat 2016 dan akan membuat pengumuman dengan segera selepas pemuktamadan pelantikan juruaudit ini,” katanya seperti dilaporkan oleh Bernama.

Dalam kenyataan berasingan, Serba Dinamik menegaskan tidak pernah mendakwa pengerusinya telah berhubung secara rasmi dengan Suruhanjaya Sekuriti (SC) atau
Bursa Malaysia Bhd (Bursa).

“Kami menghargai institusi tersebut kerana tidak merumitkan fakta kes ini, fakta yang masih ada pada umumnya,” jelasnya.

Syarikat itu memperakui pendapat oleh SC dan Bursa bahawa juruaudit boleh mempunyai beberapa elemen keraguan secara profesional semasa audit.

“Tetapi keraguan ini wajar dimaklumkan kepada pelanggan untuk mencari penyelesaian ke atas perkara-perkara yang diketengahkan dan atas dasar keraguan semata-mata tidak mencukupi untuk juruaudit membuat laporan secara pramatang kerana ini akan memudaratkan syarikat serta pasaran,” tambahnya.

Jadi Subscriber VIP INTRADAY
Sertai bersama lebih 30,000 subscribers VIP kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang forex trading.
* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat