Serba Dinamik Rayu Penolakan Mahkamah Terhadap Saman EY Consulting

209

‘Ingat dah habis isu Serba dengan EY ni. Tup-tup ada lagi.’

Serba Dinamik Holdings Bhd telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang bertindak menolak saman syarikat tersebut terhadap Ernst & Young Consulting Sdn Bhd (EY Consulting) berkenaan isu salah nyata.

Dalam pemfailan tersebut juga turut dinyatakan permohonan Serba Dinamik untuk menghalang EY Consulting daripada berkongsi sebarang penemuan atau pendapat mengenai sebarang semakan bebas khas mengenai syarikat kepada Bursa Malaysia atau pihak lain.

Rayuan tersebut difailkan selepas saman pemula dan permohonan injunksi Serba Dimanik ditolak pada 8 Mac oleh Mahkamah Tinggi.

Menurut pemfailan syarikat kepada Bursa pada 5 April lalu, rayuan telah ditetapkan utnuk pengurusan kes pada 9 Mei 2022 dan sebarang pengumuman lanjut akan dibuat pada masa kelak.

Menyusuri rekod, pada November lalu Serba Dinamik telah mengisytiharkan bahawa EY Consulting bukan juruaudit berkelayakan dan firma pengauditan itu telah salah nyata bahawa ia boleh dilantik untuk menjalankan semakan khas.

Namun, keputusan oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin pada Mac lalu menyatakan EY Consulting tidak menyalah nyatakan dirinya kepada Serba Dinamik berdasarkan surat perjanjian kerana firma itu tidak dalam apa-apa cara mendakwa sebagai juruaudit.

Sebaliknya EY Consulting telah mengambil langkah untuk memastikan pasukan yang melaksanakan semakan adalah juruaudit bertauliah iaitu Muhammad Shahrizal Abd Rahim, rakan kongsi dalam E&Y PLT.

Berdasarkan kenyataan itu, hakim memutuskan juruaudit mestilah seorang yang sebenar dan firma iaitu E&Y PLT hanya menempatkan juruaudit.

Kemudian, semakan yang dibuat terhadap Syarizal mendapati bahawa beliau telah diberi kuasa oleh Menteri Kewangan serta berdaftar dengan AOB (Lembaga Pemantauan Audit).

Maka, hakim memutuskan bahawa pelantikan EY Consulting dilakukan dengan betul mengikut Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama (MMLR) dan sebarang hujah oleh Serba Dinamik dibatalkan.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat