Matawang dolar Amerika Syarikat pada sesi pasaran New York semalam mengalami kejatuhan berikutan terkesan oleh perkembangan rundingan dagang antara Amerika Syarikat dan China yang kurang baik serta laporan tindakan oleh Dewan Rakyat AS terhadap Presiden AS Donald Trump.
Speaker dewan rakyat AS, Nancy Pelosi telah mengumumkan siasatan rasmi akan dijalankan ke atas Presiden AS Donald Trump berhubung panggilan telefon bersama Presiden Ukraine pada Julai lalu. Trump bersama rakan sekutunya telah dituduh menekan pemimpin asing untuk menyiasat pihak lawan politik domestik.
Selain itu, data keyakinan penggunan di Amerika Syarikat turut mencatatkan penurunan ketara pada bacaan September dan ini meningkatkan lagi kebimbangan terhadap para pelabur.
Sementara perkembangan di UK, Mahkamah Tertinggi UK telah memutuskan bahawan tindakan penggantungan Parlimen Perdana Menteri Boris Johnson adalah menyalahi undang-undang.
Kini terpulang kepada Speaker John Bercow untuk membuat keputusan sama ada akan menamatkan penangguhan parlimen atau tidak.
Dagangan Pound Sterling mencatatkan penurunan terkesan oleh pergolakan politik yang sedang melanda UK pada waktu ini di samping masih buntu mencari jalan penyelesaian isu Brexit.
Sentimen pasaran yang dilihat kembali berisiko telah memberi kelebihan terhadap aset safe-haven dan dapat dilihat peningkatan pada dagangan Yen dan Swiss franc pada carta harga semalam.
Pelabur pada hari ini menantikan keputusan mesyuarat polisi monetari oleh bank pusat New Zealand dengan kenyataan susulan oleh bank pusat dengan jangkaan kadar faedah masih dikekalkan di paras yang rendah.