Sibuk Dengan COVID-19, Kini Indonesia Berdepan Wabak Denggi

340

Umum mengetahui bahawa Indonesia merupakan salah sebuah negara Asia yang paling terjejas akibat daripada penularan wabak COVID-19. Negara tersebut mencatatkan sebanyak hampir 50,000 kes jangkitan dengan jumlah kematian seramai 2,535 korban. Oleh yang demikian, Indonesia telah menjalankan pelbagai inisiatif bagi membendung penularan wabak berkenaan.

Namun begitu, negara itu berdepan dengan sebuah lagi musibah yang berbahaya iaitu wabak denggi. Berdasarkan kenyataan yang dikemukakan oleh Kementerian Kesihatan Indonesia, terdapat 68,000 kes telah pun dikesan di seluruh negara terutamanya di wilayah Lombok di Nusa Tenggara Barat dan Buleleng, Denpasar serta Badung di Bali. Bukan itu sahaja, ianya turut meragut sebanyak 446 nyawa.

Pada Isnin yang lalu, Bali didakwa telah merekodkan jumlah kes tertinggi iaitu sebanyak 1,080 kes denggi.

Tambahan daripada itu, wabak tersebut dikhabarkan berpunca daripada tempat-tempat pelancongan terutamanya hotel yang telah kosong hingga menjadi sarang pembiakan nyamuk aedes. Meskipun pemeriksaan secara berkala telah dilakukan, kekurangan jumlah pekerja telah menjadi salah satu penghalang kepada usaha pencegahan.

Sehubungan dengan itu, pihak yang berwajib seperti pengusaha hotel dan tempat-tempat pelancong telah digesa untuk menjalankan aktiviti pembasmian jentik-jentik di seluruh premis yang dimiliki sebelum sektor pelancongan kembali dibuka.

Untuk pengetahuan semua, Indonesia telah pun dilanda dengan wabak demam denggi yang kritikal pada Mac dan April lalu akan tetapi penyakit itu tidak didakwa masih berterusan hingga ke awal bulan Jun. Kebiasaannya, menjelang bulan Jun, kes demam denggi yang dicatatkan bakal menurun namun, apa yang terjadi adalah di sebaliknya. Setiap hari, sebanyak 100 hingga 500 kes jangkitan bakal dilaporkan.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat